Siasat juga parti lain – Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlaku adil dengan turut menyiasat parti-parti politik lain berhubung sumber yang digunakan dalam perbelanjaan mereka semasa musim pilihan raya.

Advertisement

Beliau mendedahkan sumber yang diperolehi PAS selama ini adalah hasil sumbangan ahli-ahli PAS yang datangnya dari duit poket mereka sendiri.

“Kita terbuka untuk disiasat oleh SPRM dan beri kerjasama. Kita harap siasat juga parti-parti lain, daripada mana mereka dapat duit?

“Kita sumber kita dari ahli-ahli kita sendiri kerana di seluruh negara, kita punyai 190 lebih kawasan, sejuta lebih ahli dan kita mampu buka beribu PASTI termasuk beratus sekolah swasta.

“Jadi jangan peliklah daripada mana PAS dapat duit, cuma jelasnya ini duit poket kita sendiri,” katanya dalam satu sidang media di Rusila, Marang, hari ini.

Tambahnya, parti lain seperti DAP dan PAN tidak mempunyai cawangan yang banyak tetapi mampu bertanding dalam pilihan raya.

“Parti lain dari mana sumbernya? Cawangannya banyak mana? Dia tidak ada cawangan, PAN mana ada cawangan. DAP mana ada cawangan, dia bertanding begitu je, daripada mana duit dia dapat, itu kena siasat, bukan siasat kita sahaja tapi siasat semua.

“PAS buka pintu kepada SPRM untuk siasat, kita mengalu-alukan mereka siasat kerana kita mahu buktikan parti kita bersih, bahkan sudah cukup kenyataan menteri di parlimen sebelum pilihan raya umum ke-14 ada soalan di parlimen, berapa orang ahli parlimen yang disiasat? BN dan Pakatan Harapan disiasat tapi PAS tak ada,” katanya.

Ujarnya, fitnah yang menuduh PAS menerima RM90 juta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 itu ternyata gagal memesongkan hati rakyat apabila fitnah tersebut tidak sedikitpun menjejaskan kepercayaan rakyat kepada PAS.

Jelasnya, ini dapat dibuktikan apabila PAS berjaya mempertahankan kerajaannya di Kelantan dan merampas Terengganu, hampir memenangi Kedah, peningkatan kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang selain pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri dan parlimen.

“Sebab itu kita merasakan tidak ada gunanya kita habiskan masa di mahkamah, apa lagi undang-undang British dengan undang-undang di sini lain (berbeza).

“Selain itu, kes ini kena bawa atas nama peribadi tak boleh siasat atas nama parti sedangkan tuduhan mereka (adalah) kepada parti. Nak bawa di England atas nama parti tak boleh, kena bawa nama peribadi itu dah berlaku kelainan dah,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/2/2019