Saman SR: Ahli PAS jangan masuk perangkap musuh

taki3

SAYA merujuk kepada perkembangan terkini kes saman Sarawak Report yang telah difailkan oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang terhadap Editornya, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London (The High Court of Justice, Queen’s Bench Division) pada 21 April 2017.

Advertisement

Setelah mendapat penjelasan lanjut dan terperinci serta meneliti kronologi perjalanan kes ini, PAS menghormati dan menyambut baik serta menyokong penuh langkah penyelesaian di luar mahkamah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, iaitu YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sebagai plaintif, dan Clare Rewcastle Brown, sebagai defendan, pada 1 Februari 2019.

Persetujuan melibatkan kedua-dua pihak plaintif dan defendan itu adalah di mana plaintif bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutannya (claim) terhadap defendan dan defendan bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutan balasnya  (counterclaim) terhadap plaintif. Di samping itu tidak ada perintah mengenai kos (no order as to costs).

PAS percaya serta yakin langkah yang diambil oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dalam hal ini adalah setelah mengambil kira kepentingan PAS serta ahli-ahli PAS secara keseluruhannya dari semua aspek.

PAS juga percaya persetujuan penyelesaian di luar mahkamah secara tidak meneruskan tindakan ini sedikit pun tidak tergolong kepada pengakuan (admission) terhadap isu dan perkara yang berbangkit dalam kes ini mahupun tohmahan-tohmahan (accusations) lain yang berkaitan yang dibangkitkan dari semasa ke semasa.

Justeru itu, PAS menyeru kepada ahli-ahlinya supaya terus istiqamah dengan memberikan sepenuh wala’ dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan serta sentiasa berfikir dan bertindak secara berhati-hati agar tidak terjebak ke dalam ‘perangkap musuh’ yang sentiasa menanti.

PAS menyerahkan kepada Allah SWT di atas segala perkara dengan keyakinan bahawa Dia akan membantu serta memberi petunjuk kepada hamba-Nya yang beriman, bersabar dan dizalimi di samping membantu mereka yang berjuang di jalan yang lurus.

DATO TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
9 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 9/2/2019