Kuasa politik untuk angkat perintah Allah

SIK: Kuasa kerajaan yang dimiliki perlu digunakan untuk menggerakkan agenda seruan kepada makruf dan mencegah perkara mungkar kerana ia adalah tanggungjawab dan syarat atas pemimpin sebagaimana terkandung dalam al-Quran.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun di bawah pemerintahan PH menjadi sebaliknya apabila usaha makruf disekat, tetapi perkara berkait kemungkaran diberi kelonggaran.

Tegas beliau, pemimpin yang memegang kuasa tidak boleh mengikut kehendak orang jahat dan fasik dengan membiarkan kemungkaran semata-mata mahu menjaga hati pengundi kerana bimbang hilang kemenangan pilihan raya.

“Waktu PAS menang di Kelantan dan di negeri-negeri lain, kita buat walaupun dalam ruang kerangka kemampuan yang terbatas malah dalam konteks politik, kita rugi.

“Bila kita menang di Kedah, kita buat sekatan terhadap premis-premis hiburan walaupun dari segi undi kita rugi kerana kaki disko, bar, kelab malam, pusat hiburan tidak akan undi kita seperti juga di Kelantan, kita tutup pusat-pusat hiburan.

“Politik kita rugi, duit cukai kita rugi, penyokong juga akan lari daripada kita tetapi kita mahukan redha Allah dalam pentadbiran bukan hanya redha manusia,” ujarnya ketika berceramah di Padang Bola Batu 5, di sini kelmarin.

Beliau menegur sikap pemimpin Kerajaan PH dalam isu larangan pemantauan oleh penguatkuasa agama di hotel-hotel kerana mendakwa maksiat yang berlaku di situ sebagai dosa peribadi.

“Yang kita tidak perlu campur kerana dia buat maksiat sembunyi-sembunyi dalam rumah, sedangkan Nabi menyuruh kalau kita tahu kita kena mencegah malah jika kita tidak mencegah, akan merebak dalam masyarakat.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk pencegahan, bukan menggunakan jawatan untuk menyekat mana-mana kuliah yang ada, menyekat program-program agama, menyekat ustaz-ustaz mengajar di masjid.

“Dalam waktu sama, pusat hiburan diberi kelonggaran sehingga pukul 5 pagi untuk beroperasi. Hampir setiap malam serbuan dilakukan pihak berkuasa ke atas pusat hiburan akan menjumpai pelbagai jenis dadah dan penyalahgunaannya,” kesali beliau.

Oleh itu tegasnya, politik dalam Islam bukan semata-mata soal kuasa tetapi membawa kekuasaan untuk kembali mengangkat martabat Islam sebagai agama Allah S.W.T di atas muka bumi.

“PAS dalam situasi kalah atau menang tidak pernah meninggalkan prinsip untuk menegakkan agama Islam, seperti bila angin datang, akan ada daun-daun yang gugur, akan ada ranting yang patah.

“Tetapi daun dan ranting yang kekal di pokok ialah ranting yang kuat yang boleh meneruskan perjuangan bagi pohon tersebut dan PAS terus istiqamah atas dasar Islam,” ujarnya menjelas analogi. – HARAKAHDAILY 12/2/2019