PAS Perak puji DAP berani lapor ke SPRM

IPOH: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria memuji tindakan berani Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong dari DAP membuat laporan kepada pihak berkuasa walaupun pada kes yang dikaitkan dengan sekutu politik partinya.

Advertisement

Thomas telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan permit projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi di Perak yang diberikan kepada sebuah syarikat.

Kata Razman, laporan seumpama perlu dilakukan agar tidak wujud sikap terpilih dalam isu berkaitan integriti dan kuasa seperti itu kerana rakyat mahu melihat pemisahan kuasa yang telus dan adil.

Malah menurutnya, tindakan sedemikian juga penting untuk mengelak persepsi yang mudah terbina sebagaimana telahpun berlaku ke atas pemimpin PH lain sebelum ini.

Bahkan ujar Adun Gunung Semanggol itu, keberanian Thomas juga dapat menjadi hujah untuk menafikan desas-desus dakwaan usaha pertukaran Menteri Besar.

“Bagi pihak PAS, kita tidak mahu mana-mana pihak yang terlibat dan dibukti serta disahkan bersalah terlibat salah guna kuasa dipertahankan. Ini prinsip asas didukung PAS dan menyokong siapa sahaja yang menegakkannya,” akui beliau. – HARAKAHDAILY 12/2/2019