PAS serah penyata akaun atas permintaan SPRM

taki3

PAS dengan ini mengesahkan telah mengemukakan atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semua Penyata Akaun Bank PAS Pusat. Ini adalah selaras dengan pendirian tegas PAS apabila SPRM memulakan siasatan setelah ada pihak membuat aduan kononnya PAS telah menerima sogokan RM90 juta daripada 1MDB.

Advertisement

Penyata Akaun-akaun PAS Pusat yang diserahkan itu bermula dari tahun 2015, iaitu sebelum tarikh artikel mengenai dakwaan sogokan RM90 juta tersebut (Ogos 2016) sehinggalah yang terkini.

PAS yakin dengan mengemukakan dokumen-dokumen terpenting tersebut membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan mereka dengan bebas, telus dan profesional. SPRM juga pastinya akan mengumumkan hasil siasatan mereka kerana semua pihak yang berkepentingan sudah lama menantikannya.

PAS mengharapkan selepas selesainya isu ini, semua pihak tidak lagi membazirkan masa dan pemikiran ke atas perkara yang tidak menguntungkan sebaliknya menumpukan perhatian dan usaha ke arah membangunkan negara dan rakyat.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
12 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 12/2/2019