Rakyat muak politik bohong, mungkir janji

SEMENYIH: Kemenangan BN pada pilihan raya kecil Dun Semenyih sangat penting kerana memberikan satu mesej kepada kerajaan PH bahawa rakyat sudah muak dengan politik bohong, khianat dan mungkir janji.

Advertisement

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebab itu kemenangan calon pembangkang yang diwakili BN di PRK Semenyih sangat penting.

Menurut beliau, PAS akan meneruskan kesinambungan kemenangan hasil kerjasama politik bersama BN sebagaimana yang dilakukan di PRK Cameron Highlands.

Beliau yang juga Adun Batu Rakit berkata, Pemuda PAS akan merancang pelbagai program dan ceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil bermula 16 Februari hingga 2 Mac.

Beliau ditemui selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi dan Ketua Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan berhubung hala tuju pemimpin anak muda blok pembangkang.