Siasat dakwaan DAP terima dana asing

KOTA BHARU: Dakwaan DAP menerima dana asing bagi membiayai Pilihan Raya Umum (PRU) lalu perlu disiasat secara telus pihak berkuasa.

Advertisement

Berikutan itu hari ini Dewan Pemuda PAS Kelantan membuat satu laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Ketuanya Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak berkuasa membuka semula kes tersebut bagi membolehkan siasatan dilakukan walaupun situasi politik negara sudah berubah sekarang.

Menurutnya, tindakan menerima dana asing menyalahi integriti negara selain boleh mendatangkan ancaman terhadap kedaulatan, keselamatan serta kepentingan rakyat dan negara.

“Kita membuat laporan bagi membolehkan polis melakukan siasatan terhadap laporan Pemuda PAS yang dilakukan serentak di seluruh negara hari ini.

“Jika pihak berkuasa tidak bertindak segera kita bimbang perbuatan yang menyalahi integriti dan undang-undang dilihat mempunyai tujuan politik yang boleh menggugat keamanan negara,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda Kelantan Ustaz Azariza Mohd Alawi, Naib Ketua Mohd Ariff Abdullah dan Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor.

Isu tersebut timbul apabila bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Razali Abdul Rahman dilapor mendakwa DAP menerima wang sebanyak RM300 juta dari Isreal. – HARAKAHDAILY 13/2/2019