Zakaria Hanafi calon BN PRK Semenyih

HULU LANGAT: BN memilih Zakaria Hanafi, 58, sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih.

Advertisement

Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan mengumumkan perkara itu dalam majlis pengisytiharan calon di Plaza Dato’ Mohd Said, Taman Pelangi Semenyih 2, dekat sini petang ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Wanita Umno, Dato’ Noraini Ahmad serta pimpinan daripada parti MCA dan MIC.

Pemimpin PAS yang hadir ialah Naib Presiden, Dato’ Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Wan Hasrina Wan Hassan.

Zakaria memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Dengan Kepujian di UKM pada tahun 2001.

Beliau telah bergiat dalam bidang politik sejak sekian lama pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap Umno Cawangan, AJK Umno Bahagian Hulu Langat dan Ketua Cawangan Umno.

Zakaria juga bergiat aktif dalam aktiviti Kemasyarakatan, di mana beliau pernah dilantik menjadi AJK Majlis Belia Daerah Hulu Langat 1995, AJK PIBG SRAI Beranang (2003-2005), Setiausaha JKKK Kg. Sesapan Kelubi, Beranang (2003-2018), Setiausaha Tabung Khairat Kg. Sasapan Kelubi Beranang (2003- sekarang), Setiausaha Surau Al-Falah (2014-2019) dan Ahli Lembaga Pengarah KOPEL Hulu Langat (2018-2019).

Sementara itu, Bendahari Bersatu Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali, 30, dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Semenyih.

Pengumuman itu dilakukan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang ini.

Kerusi Dun Semenyih kosong susulan kematian penyandang daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor pada pagi 11 Januari lalu.

SPR menetapkan PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac depan manakala penamaan calon pada 16 Februari ini.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu. – HARAKAHDAILY 14/2/2019

bn2