Adakah DAP mahu musnah integriti PDRM?

KHALIL3

PENDEDAHAN Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tentang lawatan pegawai atasan Polis Diara Malaysia (PDRM) ke Turki yang dibiayai dengan tajaan sebuah syarikat judi terkenal, Da Ma Cai, sangat mengejutkan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Advertisement

DPPM mengalu-alukan usaha murni PDRM melawat Turki bagi mempelajari selok-belok untuk membenteras kegiatan perjudian atas talian. Lebih dari itu, Dewan Pemuda PAS berharap semua kegiatan judi sama ada berlesen atau tidak berlesen, atas talian atau luar talian, dihapuskan sama sekali di negara ini.

Isu penajaan lawatan pegawai atasan PDRM ke Turki untuk mempelajari kaedah membenteras judi atas talian seharusnya tidak timbul apatah di perbesarkan. Ia sepatutnya boleh di selesaikan secara dalaman oleh Kementerian Kewangan memandangkan Lembaga Totalisator sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Namun tindakan Lim Guan Eng seolah-olah mahu memperlekehkan serta memusnahkan martabat serta integritI PDRM terutamanya di kalangan rakyat dengan mendedahkan bahawa PDRM menerima tajaan Da Ma Cai. Sepatutnya Lim Guan Eng sendiri boleh menyelesaikan isu ini dengan tidak menerima tajaan tersebut dan meluluskan peruntukan di bawah Kementerian Kewangan.

Menjadi persoalan mengapa Lim Guan Eng tidak bertindak sedangkan agensi tersebut di bawah Kementerian Kewangan? Ini menggambarkan seperti ada ‘hubungan istimewa’ antara Da Ma Cai dengan Kementerian Kewangan. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa kegiatan perjudian dan industri dosa akan terus subur di negara ini disebabkan adanya ‘hubungan istimewa’ tersebut jika benar ia berlaku.

Sehubungan dengan itu, DPPM mendesak agar Menteri Kewangan memohon maaf kepada umat Islam di Malaysia dan khususnya PDRM, kerana dengan meluluskan tajaan Da Ma Cai itu Lim Guan Eng telah memalukan institusi penguatkuasaan yang berlambangkan nama ALLAH dan MUHAMMAD. Lim Guan Eng harus bertanggungjawab kerana Lembaga Totalisator terletak di bawah bidang kuasa beliau.

DPPM juga mendesak supaya Kementerian Kewangan mengembalikan semula dana Da Ma Cai yang telah digunakan untuk membiayai rombongan PDRM dalam tempoh seminggu. Sekiranya Lim Guan Eng benar bertanggungjawab dan berintegriti, wajar beliau menggunakan peruntukkan dari Kementerian Kewangan untuk kegunaan pagawai atasan PDRM untuk lawatan kerja ke Turki.

“Islam Memimpin“
“Terus Mara“

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
14 Februari 2019 / 9 Jamadilakhir 1440 – HARAKAHDAILY 15/2/2019