SPR: Tidak perlihat komitmen reformasi institusi

SAYA mengucapkan tahniah atas pelantikan anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar kelmarin.

Advertisement

Walaupun begitu, pelantikan ini sekali lagi tidak memperlihatkan komitmen Kerajaan dalam melakukan reformasi institusi sedangkan agenda ini merupakan intipati penting yang terkandung dalam Buku Harapan, Kajian Separuh Penggal RMK11 dan Bajet 2019.

Kerajaan juga telah ditegur mengenai perkara ini semasa pelantikan Pengerusi SPR pada September tahun lalu. Sepatutnya, pelantikan anggota-anggota SPR yang baharu ini mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen sebelum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ini penting bagi memastikan SPR bertanggungjawab kepada Parlimen, bebas daripada campur tangan Kerajaan dan mendapat kepercayaan awam.

Walau bagaimanapun, saya amat berharap anggota-anggota SPR yang telah dilantik ini dapat menjalankan tugas dengan amanah; bersikap adil dan telus; dan komited terhadap agenda reformasi sistem pilihan raya di negara ini.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
15 Februari 2019 | 10 Jamadilakhir 1440 – HARAKAHDAILY 15/2/2019