PRK Semenyih: BN laung keyakinan

HULU LANGAT: Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan harapan supaya kerjasama Umno dan PAS berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Advertisement

“Mudah-mudahan kerjasama antara Umno PAS ini dapat berterusan hingga PRU15, yang paling utama agenda Islam dan Melayu harus kita pertahankan,” ujarnya ketika ditemui di tempat berkumpul penyokong BN pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, hari ini.

Beliau yakin akan kemampuan calon yang ditampilkan BN mempunyai kelebihan dan kredibiliti sendiri untuk menarik para pengundi.

Kerjasama antara Umno dan PAS mula berlaku selepas PRU14 yang mana kedua-dua parti ini tampil sebagai dua parti terbesar pembangkang di negara ini.

Ini adalah siri kerjasama Pilihan Raya Kecil (PRK) yang keenam yang mana kejayaan kerjasama ini pernah tercipta selepas PRK Cameron Highlands yang diadakan baru-baru ini menyaksikan kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor.

PRK Dun Semenyih pada 2 Mac nanti diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

BN yang tewas pada pilihan raya umum lalu, menamakan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi sebagai calon manakala PH mempertaruhkan jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali.

PSM pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon manakala Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, turut menyatakan kesediaan bertanding. – HARAKAHDAILY 16/2/2019