PRK Semenyih: Penamaan calon dijangka lancar

HULU LANGAT: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih pagi ini dijangka berjalan lancar.

Advertisement

Para penyokong bagi kesemua parti dan calon bebas yang bakal bertanding mula berkumpul sekitar jam 7.30 pagi ini.

Proses penyerahan borang akan berjalan di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 13 borang penamaan calon terjual.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata wakil daripada Barisan Nasional (BN) membeli lima borang pencalonan, Pakatan Harapan (PH) tiga borang dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu borang.

“Selain pembelian oleh parti-parti utama, kita juga ada mengeluarkan empat lagi borang untuk calon Bebas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan semalam.

Proses penamaan calon dan perjalanan PRK Dun Semenyih akan dikendalikan Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dengan dibantu 992 petugas pilihan raya.

Menurut Azhar Azizan, segala persediaan merangkumi aspek seperti logistik dan kelengkapan serta keselamatan berjalan lancar.

Beliau turut menasihatkan kesemua parti politik yang terlibat semasa penamaan calon esok untuk mengawal penyokong masing-masing agar proses berjalan lancar.

PRK Dun Semenyih pada 2 Mac nanti diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Pakatan Harapan pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PH yang menawan Semenyih pada pilihan raya umum lalu, menamakan jurutera muda Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calon manakala BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi, 58.

Parti Sosialis Malaysia pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul,25, sebagai calon manakala Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, turut menyatakan kesediaan bertanding.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN kali ini adalah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, sementara pengarah operasi pula, Dato’ Johan Abdul Aziz.

BN melaungkan keyakinan bakal mencipta satu lagi kemenangan kali ini berikutan kejayaan di PRK Cameron Highlands dan mood rakyat yang dilihat semakin tidak menyebelahi PH. – HARAKAHDAILY 16/2/2019