Serang musuh dengan teknologi maklumat

KEMAMAN: PAS mengingatkan umat Islam mengenai pengaruh alam siber dan teknologi maklumat masa kini, yang digunakan oleh musuh bagi menentang Islam.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, teknologi maklumat di zaman ini dipergunakan oleh musuh-musuh Islam.

Bahkan, katanya tanpa disedari terdapat di kalangan generasi muda menjadi penentang-penentang Islam.

“Teknologi maklumat sangat berpengaruh di zaman ini. Contoh yang terdekat, bagaimana pilihan raya yang lalu.

“Kita menyaksikan orang-orang Islam khususnya di kalangan generasi muda. Mereka dipengaruhi oleh WhatApps, alam siber tak sedar menjadi penentang-penentang Islam.

“Dipergunakan oleh musuh-musuh Islam, sehingga berlaku perubahan politik yang membahayakan umat Islam di tanah air kita. Apabila pemerintahan didominasikan oleh orang-orang bukan Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Ijtimak Siber Malaysia Peringkat Kebangsaan 2019, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Menurutnya, lebih malang lagi terdapat di kalangan orang Islam sendiri diperalatkan oleh musuh-musuh Islam.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang berada di saf perjuangan ini dan mempunyai kemahiran alam siber mempertahankan Islam.

“Mereka yang berada di dalam saf perjuangan Islam mesti menggunakan segala kemahiran dan kebolehannya untuk menyebar dan menegakkan Islam.

“Mereka yang berada di lapangan ini, yang ada kebolehan mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan Islam, mempertahankan Islam dan menyerang musuh-musuh Islam dengan teknologi maklumat,” tegasnya kepada hampir 2,000 peserta ijtimak siber tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, teknologi maklumat telah mencetuskan ‘perang’ siber yang berlaku di dunia hari ini.

“Sehingga dianggap ‘dunia tanpa sempadan, langit terbuka’. Boleh menyebar apa sahaja ke pelosok dunia sama ada menyebarkan Islam atau menentang Islam.

“Kita menyaksikan banyaknya kumpulan yang menentang Islam di seluruh pelosok dunia, melalui alam siber teknologi maklumat dengan perbagai fitnah.

“Kita menyaksikan pertembungan di alam siber teknologi maklumat. Serangan ke atas Islam, pemimpin dan pendukungnya dengan berbagai hujah dan fitnah, untuk memberi kesan negatif terhadap Islam. Menghina Islam, menjatuhkan Islam dan menakutkan orang terhadap Islam,” jelasnya.

Dalam masa sama, katanya perkembangan Islam juga berlaku dengan pesat melalui alam siber ke seluruh pelosok dunia.

Beliau berharap agar Ijtimak Siber ini dapat memberi input yang sangat bermakna kepada mereka yang bergerak di alam siber.

Sempena Ijtimak Siber itu, tiga kertas dibentangkan oleh Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Supyan Hussin, Pendakwah Bebas dan Motivator, Ustazah Asma’ Harun dan Pengerusi Jabatan Kajian Politik Nasional dan Antarabangsa TSIS, Ustaz Nasrudin Hassan. – HARAKAHDAILY 16/2/2019