BN bergerak pantas, atasi calon lain

HULU LANGAT: Tenaga kerja jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bergerak begitu bersemangat hari ini, apabila kelihatan telah mula mengedarkan pamplet butiran calon sejak awal pagi lagi.

Advertisement

Antara lokasi yang telah dikunjungi ialah di pasar Kampung Baru Semenyih, yang terletak tidak jauh dari Klinik Kesihatan Semenyih.

Calon-calon lain juga mempunyai jadual yang padat, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) antaranya, mempunyai lebih dari sepuluh agenda hari ini.

Calon bebas, Kuan Chee Heng dilapor juga berada di Semenyh untuk memulakan kempennya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Bebas dan PSM.

Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Mohd Sayuti Bakar mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam PRK itu pada jam 10.25 semalam selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Taman Saujana Impian, Kajang.

Mereka terdiri daripada calon BN iaitu Zakaria Hanafi, Muhammad Aiman Zainali (PH), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK Dun Semenyih manakala tarikh mengundi awal pada 26 Feb.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Dun tersebut, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 17/2/2019