PH: ‘Jika kami gagal atau mungkir janji tolaklah kami’

PERDANA Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan bahawa rakyat akan menjatuhkan kerajaan sekiranya Pakatan Harapan gagal menunaikan janji pilihan raya.

Advertisement

Menurut Tun, “Sekarang rakyat sedang memerhati kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini pembangkang untuk menunaikan janji-janji pilihan raya. Namun malangnya Pakatan Harapan kini mendapati mereka tidak mampu melunaskan semua janji mereka kepada rakyat seperti yang terkandung dalam manifesto”.

“Jadi untuk pusingan seterusnya, rakyat akan menumbangkan kerajaan,” ujar beliau.

Situasi yang digambarkan ini pernah disaksikan oleh rakyat di negara India dan Jepun.

syahir2Di India, Parti Janata (JNP) telah mengalahkan Parti Kongres (INC) dalam pilihan raya 1977 dan menyaksikan buat pertama kalinya Perdana Menteri dilantik bukan daripada Parti Kongres yang memerintah India sejak kemerdekaan 1947.

Namun tidak sampai dua tahun pentadbirannya, Perdana Menteri Morarji Desai telah dipaksa untuk melepaskan jawatan dan seterusnya Parti Janata ditumbangkan dalam pilihan raya 1980 atas faktor kegagalan membangunkan ekonomi dan perpecahan dalaman sesama mereka.

Manakala di Jepun, parti pembangkang utama, Parti Demokratik Jepun (DPJ) telah berjaya mengalahkan Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya 2009 yang merupakan parti pemerintah selama lebih 50 tahun.

Namun DPJ hanya mampu bertahan selama tiga tahun dan dikalahkan dalam pilihan raya 2012 akibat kegagalan DPJ untuk menunaikan janji-janji reformasi dan populis yang dikemukakan mereka dalam pilihan raya 2009.

Berbalik kepada situasi yang sedang dialami di Malaysia, ramai yang mungkin terlupa akan sebuah akujanji bertulis dan ditandatangani pada 8 Mac 2018 di Putrajaya.

Perakuan bertulis ini termaktub di dalam kata pengantar ‘Buku Harapan’ setebal 195 muka surat yang memuatkan segala janji manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14 bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’, antaranya menyebut:

“Buku ini mengandungi janji-janji kami PAKATAN HARAPAN kepada rakyat Malaysia apabila menubuh Kerajaan. Inilah dasar dan tindakan-tindakan yang akan kami laksana untuk memulih semula dan MEMBINA NEGARA serta MEMENUHI HARAPAN rakyat”.

“Saya mewakili seluruh anggota Pakatan Harapan dengan rendah diri dan tawakkal kepada Allah Ta’ala menawarkan diri untuk menggalas tanggungjawab berat ini. Kami merayu agar rakyat memberi kami peluang untuk membuktikan kebolehan kami untuk memperbaiki negara untuk rakyat”.

“Dengan terbitnya buku ini, kami juga dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa kami sanggup dihakimi oleh rakyat, sejauh manakah kami berjaya memenuhi janji-janji ini.”

“Jika kami gagal atau mungkir janji, tolaklah kami melalui proses demokrasi.”

Inilah hakikat sebuah janji Malaysia Baharu yang kini sudah menjadi realiti, dan akan terus menjadi saksi.

Sabda Rasulullah S.A.W. (maksudnya): “Tanda-tanda orang munafik ada tiga; apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianati”. (Riwayat Bukhari)

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Pemuda PAS
17 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 17/2/2019

kata