Tun M salah tafsir sokongan PAS

KEMAMAN: Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menyalahtafsirkan sokongan PAS kepada Perdana Menteri, hingga menjadi polemik hari ini.

Advertisement

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, komitmen PAS kepada kepimpinan Perdana Menteri itu dalam agenda mengukuhkan dan memperkasakan orang Melayu dan Islam.

Katanya, sokongan itu sebagai satu tanda jaminan PAS bahawa kepimpinan parti itu sedia berada di belakang Perdana Menteri dalam agenda tersebut.

“Kita memberi komitmen kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir meneruskan agenda bagi mengukuhkan dan memperkasakan orang Melayu, orang Islam di Malaysia.

“Itu adalah suatu jaminan yang kita berikan kepada Tun. Jadi kalau faham lagu lain itu, Allahu a’lam. Pada kita jelas bahawa itu adalah perakuan kita, pimpinan mengakui wajar diteruskan memimpin negara kita.

“PAS berada di belakang Perdana Menteri dalam memperkasakan agenda orang Melayu, agenda orang Islam, agenda ekonomi, pendidikan kepada orang Melayu, orang Islam di Malaysia,” tegasnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Geran hak Milik Kekal Tanah Rakyat di Dewan Dato’ Seri Amar Diraja, Chukai, Kemaman, hari ini.

Sehubungan itu, katanya semua rakyat tanpa mengira kaum memerlukan kestabilan dan kemakmuran hidup dalam negara ini.

“Dan rakyat yang memerlukan, bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi semua rakyat memerlukan. PAS berdiri di belakang Perdana Menteri dalam agenda ini,” jelasnya yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat.

Menjawab pertanyaan wartawan berkaitan surat yang didakwa oleh Mahathir itu, beliau berkata, surat itu tidak ada kaitan dengan sokongan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenyih.

“Tidak ada kaitan dengan Semenyih. Sama macam sebelum ini, bila kita menyokong pandangan Perdana Menteri yang tidak menyokong ICERD, maka PAS memberi sokongan.

“Pada saya biasa, macam orang berlawan tinjulah. Sebelum berlawan itu macam-macam kata, orang itu kalahlah, orang ini menanglah. Pada hal ‘perang psikologi’ masing-masing.

“Setakat ini kita berpegang kepada apa yang katakan, bahawa PAS akan terlibat dengan jentera pilihan raya secara bersama dengan Umno.

“Tidak ada arahan dan tidak ada keputusan baharu yang dibuat. Pada saya itu adalah perang psikologi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2019