Bohong Nik Abduh, bukan pembohong

SEBELUM heboh MP Nik Abduh ditularkan dia berbohong atas suaranya di audio, saya tanya dia adakah itu suaranya?

Advertisement

Jawabnya, “Ya”.

Saya tidak tanya mengapa dia tidak cepat-cepat mengaku. Kerana dia ada ilmu dan anak orang berilmu, tentu dia tahu apa yang dibuatnya.

Sesudah saman atas Sarawak Report selesai dan sudah didatangi SPRM, dia mengaku dia berdalih dulu, suara di audio itu adalah suaranya.

Dia sudah menjelaskan mengapa tidak mengaku dulu dan jika dalihnya dipersepsi bohong, mengapa dia berbohong? Kerana ada ketikanya berbohong itu dibenarkan.

Kerana penjelasannya itu berdasarkan ilmunya, dan tiada rekod sebelum ini dia tidak bercakap benar, tidak saya takwil perkembangan itu kerana saya tidak mahu dikata orang tidak peka dan tidak menghormati cakap-cakap orang berilmu.

Apa reaksi orang akan penjelasannya itu adalah ada alam. Nabi Hud amat dihormati kaum Aad justeru tiada mereka tidak pernah berbohong. Nabi Saleh pun amat dihormati kaumnya, Tsamud. Mereka dicap berbohong bila membawa mesej nabi.

Kaum Quraisy menobatkan al-Amin kepada Rasululluh SAW justeru bercakap benar. Jika baginda sendiri ditempelak keluarga dan kaumnya kerana membawa mesej kenabian, tiada pelik Nik Abduh yang bukan nabi ditakwil. Hanya yang jujur dengan ilmunya mengenal manikam.

Nik Abduh baru sekali mengaku berbohong dengan sebab-sebabnya. Berbohongnya kerana muslihat dan belum boleh dilabel pembohong. Ada bohong yang dibolehkan, yang boleh jadi pembohong. Pembohong bercakap benar pun dikira bohong juga.

Nasihat saya, elakkan dari selalu berdalih. Melayu pun sudah kata, siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama mencuri. Bermuslihat dibenarkan, tetapi sepanjang masa bermuslihat pun jadi payah juga.

Jika berdalih dikira berbohong, maka Nabi Ibrahim pernah tiga kali berdalih. Pertama ketika bapanya hendak membawanya ke pesta berhala. Baginda mengaku uzur, maka baginda dibenarkan tidak ikut. Bila tinggal keseorangan, dihancurkannya semua patung kecuali yang terbesar.

Kedua ketika pengembaraan ke Mesir, baginda memberi tahu pegawai imigresen, isterinya ada adiknya. Jika diberitahu ia isterinya, nescaya ada gangguan sang raja. Ketiga, saya tak ingat.

Tiga bohong Nabi Ibrahim ini amat masyhur dalam sejarah para nabi sejak zamannya. Tipu baginda itu adalah benar, tetapi tidak boleh sesiapa kata ia bohong dan Nabi Ibrahim pembohong. Ada ketikanya seseoang itu boleh berdalih kerana muslihat tertentu.

Sekarang Nik Abduh diperceceh oleh sekalian penceceh. Semuanya tidak mencerakin buah butir Nik Abduh dalam audionya. Yang ditular penafiannya dan kemudian pengakuannya. Kerananya dia didesak.

Belum ada yang mengira beliau sudah berdosa dengan apa yang dilakukannya. Tetapi mungkin juga dia tidak berdosa, sebaliknya ijtihadnya, jika ada kelayakannya berijtihad, dia beroleh pahala.

Memang bohong yang dibenar itu berpahala seperti berdalih Nabi Ibrahim. Jika ikut kaedah Nabi Ibrahim itu, Nik Abduh layak beroleh pahala.

Politik Nik Abduh ini adalah baharu. Setakat sepenggal jadi ahli parlimen, belum cukup jadi ukuran. Tetapi beliau sudah mula menempah tempat politik sesuai dengan usia dan kebolehannya.

Tular atas yang terjadi belum meletakkannya di tempat sebenar dan selayak baginya. Tetapi sudah cukup jadi buah butir perbincangan orang, bagi jadi antara orang penting yang diperhatikan sepuluh tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 18/2/2019