Mahathir-Anwar bertikam, PAS jadi senjata

TUN Mahathir pada 16 Februari 2019 dengan bersahaja dan tiba-tiba mengumumkan isi kandungan perjumpaan tertutup antara beliau dan Presiden PAS, serta rombongannya. Dengan jelas beliau memberitahu bahawa PAS berjanji untuk tidak menyokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac nanti.
 
Tidak cukup dengan itu, dimaklumkan juga bahawa janji itu tidak sahaja secara lisan, malah ada juga kenyataan bertanda tangan oleh Presiden PAS. Bagi penyokong PAS yang latahnya lebih laju, akan segera membebel, mengkritik sesedap rasa Presiden mereka, tanpa mendengar dahulu penjelasan pimpinan PAS. Perangai menyondol tidak tentu arah ini tidak bagus untuk jemaah.
 
Presiden PAS, selepas tamat program Ijtimak Siber di Kemaman, segera meninggalkan majlis diiringi oleh pengawal keselamatan PAS. Pasukan keselamatan Presiden ini memang sentiasa ada bersama beliau, jadi sangatlah berniat jahat apabila ada wartawan yang menulis bahawa “untuk rekod, Presiden PAS tidak pernah diiringi pengawal keselamatan sebelum ini” apatah lagi ia ditulis oleh wartawan dari Terengganu.
 
Pimpinan PAS Pusat yang menganggotai Dewan Harian, segera dipanggil ke Rusila keesokan harinya iaitu Ahad 17 Februari bagi membincangkan isu yang tiba-tiba menjadi tusukan beracun oleh Tun kepada hubungan PAS dan BN dalam percubaan kedua menjalinkan kerjasama bagi menentang PH.
 
Akhirnya keresahan penyokong PAS menjadi lega apabila PAS mengumumkan mereka tidak mempunyai kerjasama yang diikat secara rasmi dengan BN dan kerjasama politik yang paling utama yang ada ialah apabila BN yang diwakili Umno menentang calon PH yang bukan Islam. Jelas PAS mahu menyekat DAP daripada membunuh keseluruhan PH yang bercampur juga dengan Melayu-Islam itu.
 
PAS juga secara khusus memaklumkan niat untuk memperbanyakkan lagi Ahli Parlimen Melayu-Islam di Parlimen. Jadi kerjasama antara PAS dan BN di Dun dan Parlimen, akan berbeza mengikut keadaan. Walau bagaimanapun, sokong tetap diberikan kepada BN dalam PRK Semenyih kali ini. Berjalan seperti biasa. Manakala surat yang bertanda tangan itu hanyalah contoh kepada beberapa surat sebelum ini.
 
Ada yang melihat Tun melakukan ini sebagai salah satu strategi beliau berkempen secara mudah dalam PRK ini dengan mencurigakan BN kepada kesetiaan PAS dalam kerjasama. Presiden PAS datang, bincang pasal kerjasama antara kerajaan, kemudian bagi tahu PAS akan menyokong Tun jika ada pertikaian politik dengan bukan Islam, terus beliau ambil menjadi senjata menikam PAS dan BN. Akal Tun cukup panjang.
 
Pada perhatian secara terus, begitulah perancangan Tun dalam isu ini. Tetapi bagi saya, saya melihat suatu sudut lain yang jauh lebih baik yang Tun telah dapat. Kenyataan Tun tentang sokongan PAS itu bukan sahaja untuk berkempen, tetapi lebih dari itu, ia adalah satu amaran kepada Anwar dalam cita-cita beliau mahu mengejar jawatan PM. Dua dalam satu.
 
Apa maksudnya? Tun memberitahu Anwar, bahawa, PAS telah secara tuntas, memilih untuk menyokong Tun jika ada krisis. Jadi jangan diangankan jawatan PM ini secara mudah. Kebijakan Tun lagi ialah beliau membiarkan PAS mengisytiharkan sendiri sokongan itu. Pendedahan beliau itu sekali gus mendesak PAS memberitahu kepada seluruh rakyat bahawa mereka memang menyokong Tun, bila ada krisis, walaupun bukan sekarang.
 
Jadi Tun hanya membuat kenyataan separuh masak, yang terpaksa dimasak keseluruhannya pula oleh PAS. Jika tidak, pasti rakyat akan mengatakan PAS ini pembelot. Sesuatu yang PAS tidak mahu dipalitkan, kerana PAS adalah parti Islam, parti yang memegang teguh arahan agama. Masakan parti Islam menjadi pembelot. Jadi pengakuan PAS untuk menyokong Tun itu adalah suatu nilai tambah kepada Tun. Tun memang tahu PAS begitu.
 
Jika Tun sendiri mengatakan bahawa PAS menyokong beliau, ia tidaklah sehebat mana. Mungkin boleh dikatakan sebagai memanipulasikan keadaan. Tetapi apabila PAS dengan jelas dan terang mengaku sendiri, mana mungkin ia putar belit Tun. Tun tidak kisah jika PH kalah di Semenyih sebab mendiamkan Anwar lebih utama. Anwar pula semakin cemas kerana menyedari permainan Tun sudah agak kasar sekarang.

Advertisement

Inilah cara sebenar Sarawak Report mahukan, membuat PAS mengaku sendiri perkara lain dalam mahkamah yang akan menjadi senjata paling ampuh untuk membunuh PAS. Bukan isu RM90 juta yang ingin diketengahkan. Sangat bijak pimpinan PAS memilih jalan menyelesaikan di luar mahkamah, Allah kurniakan keselamatan atas jemaah.
 
Anwar sepanjang tempoh sebelum dan sesudah penamaan calon, tidak dilihat mengambil kesempatan menjulang dirinya. Kecuali dengan kenyataan yang berkeyakinan beliau akan menjadi PM tidak lama lagi, yang lain hanyalah tiada fungsi. Namun, bagi sebahagian orang, saya percaya pemikiran mereka sama seperti saya iaitu sudah melihat Anwar menyerang baru-baru ini. Perang mereka sudah berjalan.
 
Melalui kenyataan seorang hakim mahkamah, berkenaan ada hakim-hakim yang mengatur keputusan mahkamah, saya melihat itulah serangan kepada Tun. Hakim itu mendesak diadakan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kepincangan sistem kehakiman Malaysia. Ianya bukan sahaja berkenaan hakim-hakim, tetapi juga berkenaan campur tangan pihak kerajaan dalam kes liwat Anwar.
 
Ini jelas akan melibatkan Tun. Beliau dikenali sebagai dalang dalam bicara liwat Anwar. Percubaan Anwar mengembalikan nostalgia rakyat berkaitan perbicaraan itu, bagi menagih simpati, menyalahkan Tun, mungkin juga undi tidak percaya akan dibuat di Parlimen? Segalanya mungkin. Serangan Anwar sekarang dihidu Tun, oleh sebab itu, Tun dengan senang hati menerima tujuh kembar Umno baru-baru ini.
 
Kemarahan DAP terhadap Tun juga menjadi isyarat Anwar telah bersedia berperang dengan Tun. Mereka tidak tahan lagi, manakala Tun pula seronok mengutip Umno yang disucikan oleh beliau, satu persatu masuk Bersatu. Tempoh dua tahun yang dijanjikan kelihatannya mungkin tidak kesampaian bagi Anwar kerana Azmin, anak angkat Tun boleh pada bila-bila masa menjadi penghalang kepada Anwar.
 
Anwar juga tahu PAS tidak akan membantu beliau lagi disebabkan DAP, jadi beliau terdesak. Mahu ambil PAS, DAP akan lari, jika bersama dengan DAP pula, PAS, Umno, Bersatu dan sebahagian PKR juga tidak akan kekal bersama beliau. Tun pula semakin memberi cengkaman dengan mengumumkan akan masuk Sabah bagi mengembangkan Bersatu. Kini, sudah ada Ahli Parlimen dan Adun Sabah ikut Bersatu.
 
Lajim Ukin, bekas Menteri BN dahulu tidak ketinggalan memberikan beban dalam kepala Anwar dengan bersetuju untuk membubarkan partinya dan semua mereka menyertai Bersatu. Tiada jalan lain lagi, Anwar mesti berlawan dan menang dalam pertembungan ‘do or die’ ini. Jika dia membiarkan sahaja, bermakna dia akan diatur sekali lagi oleh Tun, dan pastinya tidak dilayan Tun.
 
Lihat sahaja kerusi Semenyih yang dahulunya dimiliki PKR, bertukar tangan, menampakkan penguasaan Tun mengatur gerak. Walaupun sukar mengalahkan orang tua itu, tetapi itulah jalan yang terbaik bagi Anwar. Maka di sinilah peranan PAS sebagai senjata. Tun cuba gunakan PAS untuk menikam Anwar. PAS isytihar sokong Tun kerana mahu menjaga kepentingan Islam, Anwar pun faham, dia kurang sokongan.
 
Inilah cara PAS membawa Islam, bertegas dan berlembut dalam kesesuaian keadaan, memilih rakan, asalkan Islam dapat dimartabatkan dan dijulang. Buat masa ini, menjadi senjata kepada Tun asal Anwar dan DAP digagalkan. Itulah asas perjuangan PAS, segalanya untuk Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
18 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 18/2/2019