Muslimat S’wak telaah gerak kerja di TEGAS 1.0

BINTULU: Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak telah mengembalikan momentum dan semangat juang ahlinya menerusi program TEGAS 1.0 yang dilangsungkan di sini kelmarin.

Advertisement

Menurut Ketua Penerangan Muslimat PAS Sarawak, Izyan Haziqah Isrofeil, program tersebut menghimpunkan lebih 100 ahlinya dari seluruh negeri itu untuk ‘mengulangkaji’ Ucaptama Muktamar 2018.

Menerusinya juga, hala tuju bersama Muslimat PAS Malaysia dan negeri dicerakinkan supaya dapat diterjemahkan oleh sekelian ahlinya dalam bentuk tindakan di Kawasan masing-masing.

Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin berkata, senario politik Sarawak yang berbeza menuntut Muslimat untuk lebih kreatif mencipta peluang.

Serunya, usaha sedemikian penting untuk mengorak langkah melalui pemantapan dakwah sebagai wadah utama mencorak politik Islam di Sarawak di kemudian hari.

Manakala kemuncak utama TEGAS 1.0 adalah taujihat oleh Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam yang antaranya menyeru istiqamah anggota Muslimat PAS Sarawak.

Beliau mengupas ayat 61 hingga 66 surah al-Anfal yang antaranya menuntut kesabaran dalam mendepani kekuatan besar musuh di mana Allah pasti mengurniakan kemenangan.

Menerusi majlis tersebut, para peserta juga berpeluang mengikuti sesi soal jawab antaranya penjelasan isu-isu panas seperti saman Sarawak Report dan RM90 juta.

Malah, sesi tersebut turut merungkai pelbagai maklumat penerangan lain termasuk strategi yang sekali gus memberi inspirasi kepada Muslimat PAS Sarawak untuk memacu kemenangan PRU15.

Majlis tersebut telah dirasmikan Ketua Ulamak PAS Sarawak, Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir dan turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Sarawak, Juliani Adin. – HARAKAHDAILY 18/2/2019 

IMG 20190218 WA0035