Aisyah R.A dijadikan ikon wanita T’ganu

KUALA TERENGGANU: Jika Kelantan mengangkat isteri Rasulullah S.A.W iaitu Saidatina Khadijah Khuwailid R.A sebagai ikon wanita negeri itu, Terengganu pula memilih Saidatina Aisyah R.A.

Advertisement

Adun Wanita, Zuraida Md Noor berkata, ketokohan Aisyah itu akan diabadikan pada Sambutan Hari Wanita Terengganu sesuai keperibadiannya yang dikenali dengan ketinggian ilmu.

“Aisyah merupakan salah seorang Ummu Mukminin iaitu isteri Rasulullah S.A.W yang sangat berjasa kepada umat Islam. Jadi ia adalah antara (sebab) kenapa kita memilih ikon ini.

“Kita tahu beliau dikenali sebagai alim mengenai (fiqh) halal dan haram (termasuk) ilmu perubatan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Program Saidatina Aisyah berkata demikian ketika bersiaran langsung bersama Manis.fm di konti penyiaran itu, di sini semalam.

Menurut Zuraida, golongan wanita adalah penting pada masa kini yang menyumbang kepada kemajuan kepada negeri dan negara.

Oleh itu kata beliau, pemilihan Aisyah sebagai ikon program tersebut diharapkan dapat menjadi ikutan kepada wanita di negeri ini khususnya.

Katanya, Terengganu berbeza dengan Kelantan yang memilih Khadijah sebagai ikon memandangkan ramai wanita negeri itu terlibat dalam perniagaan.

“Sebab kita tahu waqi’ (suasana) ataupun keadaan di Kelantan wanita suka berniaga, usahawan, jadi Khadijah terkenal dengan usahawannya sendiri bagaimana ia berniaga di pasar dan wanita mempelopori perniagaan di sana.

“Jadi sesuailah Khadijah diangkat sebagai ikon di Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/2/2019 

IMG 20190219 WA0034