59 penghulu bukan Islam di Kelantan

KOTA BHARU: Biarpun sebagai kaum minoriti di Kelantan namun masyarakat Tionghua sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri.

Advertisement

Malah kerajaan negeri juga membina pintu gerbang khas di Dataran Cheng Ho

di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu sebagai menggambarkan kewujudan komuniti tersebut di Kelantan.

Selain itu seramai 59 penghulu mewakili masyarakat Cina, India dan Siam juga dilantik kerajaan negeri.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, masyarakat bukan Islam di Kelantan merupakan golongan minoriti.

“Tetapi sumbangan mereka terhadap perkembangan ekonomi negeri adalah sangat besar.

“Dalam menjaga keharmonian sosial, kemajuan ekonomi dan kestabilan politik inilah kita memerlukan kerjasama segenap lapisan masyarakat,” katanya pada perasmian Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini malam tadi.

Teks ucapannya dibaca Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Dato’ Oie Poh Choon, ketua-ketua pertubuhan serta wakil Persatuan Tiong Hwa. – HARAKAHDAILY 20/2/2019