Calon BN gembira PAS bantu kempen

HULU LANGAT: Biarpun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih yang sedang berlangsung ketika ini, namun ia langsung tidak menjejaskan kerjasama pembangkang.

Advertisement

Sambutan semakin hangat dalam kalangan masyarakat bukan Islam dengan kehadiran calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi, 58.

Menurut Zakaria, beliau cukup bersyukur dan gembira selepas jentera Umno bersama PAS bekerjasama bersungguh-sungguh membantu beliau berkempen.

Beliau kini seolah menjadi calon pilihan rakyat Semenyih apabila walau ke mana sahaja beliau pergi pelbagai lapisan masyarakat meraikan beliau.

Walau bagaimanapun, hari ini ketika beliau turun bersama jentera kempennya, beliau telah dihalang oleh penyokong Pakatan Harapan supaya tidak berkempen di sekitar kawasan sekolah.

Akur dengan permintaan tersebut Zakaria beransur meninggalkan lokasi kempennya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rinching.

Beliau sempat beramah mesra sebentar dengan ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak pulang dari sekolah.

Kerusi Dun Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini.

Turut bertanding dalam PRK ini calon mewakili parti PSM, Nik Aziz Afiq Abdul serta aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’. – HARAKAHDAILY 20/2/2019