Syarat layak boleh mohon tanah

azman

SETIU: Rakyat Negeri Terengganu walau di mana juga berada layak untuk memohon tanah bagi menjamin keselesaan hidup mereka selagi mana memenuhi syarat yang ditetapkan.

Advertisement

Exco kerajaan negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemohon mestilah berusia 21 tahun ke atas dan anak kelahiran Terengganu serta tidak pernah menerima pemberian tanah daripada kerajaan.

“Semua yang menepati syarat layak membuat permohonan tanpa mengira latar belakang pekerjaan.

“Permohonan tanah bukan untuk orang miskin, tapi untuk orang yang belum pernah terima tanah. Silap kalau beranggapan kakitangan kerajaan tak layak mohon tanah sebab sudah kerja makan gaji,” ujarnya yang juga Adun Jabi.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama warga Kampung Cabang 3 Oh, Kampung Jabi, Kampung Gong Dasar dan Kampung Bakap di Dewan Sivik Jabi, kelmarin.

Katanya, sekiranya pemohon pernah mendapat tanah RTB sama ada RTB pertanian atau RTB tanah kediaman, atau tanah haram yang diberikan kelulusan bayar jelas, ia dikira sudah pernah dapat tanah pemberian kerajaan dan tidak layak lagi membuat permohonan.

“Bagi mereka yang bukan kelahiran Terengganu dengan makna kod IC bukan 11, layak memohon kerakyatan Terengganu sekiranya sudah menetap di Terengganu melebihi 10 tahun.

“Dengan itu, ia akan melayakkan memohon tanah di negeri bertuah ini sekiranya permohonan kerakyatan diluluskan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 20/2/2019