Warga Bagan Serai dipelawa ke Karnival Usahawan

BAGAN SERAI: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bagan Serai akan mengadakan Karnival Keusahawanan Muslimat di Pusat Pendidikan Islam Selingsing (PUPIS) pada 22 hingga 24 Februari ini. 
 
Pembukaan karnival tersebut akan dimulakan dengan Ceramah Perdana menampilkan Dai Ilhami Nadhrah Hamzah dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria.
 
Karnival tersebut dianjurkan bertujuan mendedahkan masyarakat khususnya golongan muslimah kepada bidang tersebut agar dapat melahirkan ramai usahawan muslimat.
 
Bakal dijalankan juga adalah kayuhan amal ke arah memupuk masyarakat supaya mengamalkan aktiviti dan gaya hidup sihat, serta membuka ruang masyarakat untuk saling kenal mengenali. 
 
Bukan itu sahaja, antara dijangka aktiviti penyertaan adalah pertandingan memasak pajeri dan gubahan lipatan kain batik atau pelekat untuk kaum ibu. 
 
Ia bakal menjadi platform untuk para ibu menunjukan bakat yang sememangnya sedia ada dalam diri mereka, disamping melihat kepelbagaian idea dalam mencorak dan menggubah kreativiti. 
 
Pun begitu, aktiviti sepanjang karnival tersebut tidak terhad kepada golongan ibu dan bapa sahaja, malah turut menyediakan aktiviti untuk kanak-kanak antaranya mewarna, tulisan khat dan juga pakaian beragam. 
 
Menerusi acara ini dijangka dapat melihat karenah dan telatah anak-anak comel ini dalam menyempurna dan menyerlahkan bakat serta minat mereka.
 
Muslimat PAS Bagan Serai berharap orang ramai di sekitar kawasan ini dapat menyertai dan memeriahkan karnival tersebut. – HARAKAHDAILY 20/2/2019
Advertisement