Fitnah untuk padam perjuangan PAS

DUNGUN: Semua fitnah yang dilemparkan oleh parti komponen PH adalah bagi memadamkan cahaya perjuangan PAS yang berprinsipkan Islam.

Advertisement

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, usaha yang dilakukan musuh itu dicetuskan supaya orang luar akan menjauhi PAS, serta yang sudah menjadi ahli akan meninggalkannya.

“Matlamat mereka perjuangan yang membawa syiar Islam akan menjadi malap.

“Itu matlamat mereka, tetapi apa yang berlaku sebaliknya di peringkat PAS Pusat telah berlaku pertambahan ahli.

“Dan semangat ahli-ahli pun sangat tinggi, sebagaimana di Negeri Terengganu ini, begitu bersemangat bagi mengisi kemenangan di peringkat negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas Program Masih Ada Yang Sayang, agihan bantuan kepada ibu tunggal, di Balai raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Setia, Al-Muktafi Billal Shah, Bukit Besi semalam.

Jelasnya, melalui pertambahan ahli PAS secara tidak langsung di atas rasa kesedaran dan diiringi keyakinan akan menjuruskan mereka untuk menjadi tenaga pengerak.

“Dan pengerak inilah yang akan dapat memajukan PAS, boleh bergerak lebih maju untuk masa yang akan datang,” tegasnya

PAS relevan di Dungun

Katanya, PAS akan kekal relevan di Dungun bagi memenangi hati rakyat untuk mempertahankan Parlimen Dungun.

Beliau berkata, di antara bagi memastikan PAS terus menguasai Parlimen ini, beberapa langkah akan diambil dan dikenalpasti agar sentiasa menjuarai hati rakyat Dungun.

“Kita tentulah melihat didalam analisis kita apa kekuatan yang kita ada di setiap Dun di Parlimen Dungun berbanding dengan lawan kita dan seterusnya melihat apa dia peluang-peluang yang ada untuk kita terokai.

“Dan perlunya bagi melihat ancaman-ancaman yang ada, itu akan dilihat di dalam konteks kepimpinan di peringkat Parlimen Dungun,” ujarnya.

Menurutnya, setakat ini masih belum lagi mendengar perkara-perkara negatif yang boleh mengugatkan kedudukan PAS di Kawasan Dungun.

Tambahnya, rakyat akan melihat perbezaan di antara parti yang memerintah kerajaan dengan yang belum menerajui kerajaan untuk diberikan mandat secara lebih besar lagi pada masa akan datang, untuk menjadi peneraju negara.

“Seterusnya di kalangan ahli perlu sentiasa mempromosikan PAS kepada masyarakat sendiri, agar mereka yang masih tidak bersama PAS akan memilih untuk bersama perjuangan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/2/2019