Gesa keluar PH: Habis madu sepah dibuang?

DI DALAM jawapan balas beliau kepada selaran Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, kerana mendesak supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau, mengajak pemimpin Bersatu menyertai rombongan sambil belajar beliau ke Afrika Selatan untuk belajar mengenai perkauman.

Advertisement

Tegas Dr Boo Cheng Hau, jika selepas menyertai rombongan sambil belajar beliau ke Afrika Selatan untuk belajar mengenai perkauman itu Bersatu masih berkeras untuk menjadi sebuah parti perkauman maka ia perlu mempertimbangkan dengan seriusnya untuk keluar dari Pakatan Harapan yang bersifat berbilang-kaum serta menyertai PAS dan Umno dalam memperjuangkan agenda perkauman mereka.

Saya sebenarnya sangat pelik dengan pemimpin DAP seperti Dr Boo Cheng Hau, malah pemimpin-pemimpin lebih tinggi DAP lain, yang seringkali mempersoalkan agenda perkauman Bersatu dan yang seringkali meluahkan kebimbangan mereka bahawa Bersatu mungkin akan menjadi Umno 2.0 kerana kenyataan-kenyataan mereka ini menunjukkan mereka tidak mengenali Bersatu.

Tidak sedarkah mereka bahawa sejak Bersatu mula-mula ditubuhkan lagi Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah beberapa kali mengumumkan bahawa Bersatu memang dimaksudkan untuk menggantikan Umno dan memang dimaksudkan untuk mempunyai ciri-ciri perjuangan Umno yang asal?

Dalam tulisan beliau bertajuk “Why A New Party?” pada 17 Ogos 2016 umpamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menyebut bahawa Bersatu adalah pejuang kaum Melayu yang akan memelihara keselesaan yang dikaitkan dengan perkauman Umno.

Petikan tulisan beliau ini adalah berbunyi: “The sophisticated and highly educated urban people may believe that racial politics is not in keeping with the times. But on the ground it is different. For the rural people who largely are poor, race is not only important but they believe is essential for their well-being. Umno’s popularity is because it is a racial party. If the new party is to compete with Umno, it must give the people in the rural constituencies and the unsophisticated urban constituencies the kind of comfort associated with Umno’s kind of racism.”

Begitu juga dalam tulisan beliau bertajuk “Maruah Melayu” pada 23 Jun 2017 di mana Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menyeru ahli-ahli Umno supaya “kembalilah kepada prinsip dan matlamat Umno yang sebenar yang hari ini cuma ada dalam Bersatu”.

Petikan tulisan beliau ini adalah berbunyi: “Tebuslah balik maruah Melayu, agama Islam. Janganlah begitu taksub kepada parti sehingga penyelewengan oleh parti pun tidak dipedulikan. Kembalilah kepada prinsip dan matlamat Umno yang sebenar yang hari ini cuma berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.”

Begitupun, di sebalik penegasan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai ciri-ciri perkauman Bersatu dan mengenai prinsip dan matlamat Bersatu yang menyamai prinsip dan matlamat Umno yang sebenar ini, DAP, serta PKR dan PAN, tetap juga menerima Bersatu sebagai parti komponen keempat Pakatan Harapan, malah melantik pula beliau sebagai Pengerusi dan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Menghairankan sekali bila ciri-ciri perkauman Bersatu, yang di dalam PRU14 disifatkan oleh banyak penganalisis sebagai antara penyumbang utama kepada kemenangan Pakatan Harapan, kini mahu digunakan sebagai alasan untuk menyingkirkannya pula.

Lebih menghairankan lagi bila pemimpin-pemimpin tertinggi DAP sehingga kini langsung tidak memberikan apa-apa maklum-balas kepada desakan Dr Boo Cheng Hau supaya Bersatu mempertimbangkan dengan seriusnya untuk keluar dari Pakatan Harapan.

Saya setuju dengan pandangan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang menyebut bahawa “jika yang dilaungkan pemimpin DAP di bawah ini benar, Majlis Presiden Pakatan Harapan wajib mengambil tindakan” serta bahawa “menyuruh Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti oleh pemimpin celupar DAP Johor itu sama seperti Majlis Tertinggi DAP berseru sama, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng mesti keluarkan kenyataan media menyangkal”.

Tidak timbul soal menyekat kebebasan bersuara kerana jelas ada di dalam Perjanjian Pakatan Harapan fasal yang berbunyi “sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain perlu disuarakan mengikut saluran dalaman Pakatan Harapan untuk diselesaikan secara bersama di dalam Pakatan Harapan”.

Apatah lagi bila kini kenyataan yang disuarakan oleh Dr Boo Cheng Hau bukanlah lagi berkisar di sebalik desakan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi adalah desakan supaya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.

Jika pemimpin-pemimpin tertinggi DAP tidak membantah kenyataan-kenyataan Dr Boo Cheng Hau ini maka persepsi masyarakat adalah mereka juga bersetuju dengan beliau. – HARAKAHDAILY 22/2/2019