Masuk sekolah: Menteri benar, guru takut

KOTA BHARU: Biarpun Menteri Pendidikan memberi kebenaran wakil rakyat PAS memasuki sekolah di bawah kementerian, namun pihak pentadbiran sekolah pula masih lagi meragui.

Advertisement

Ahli parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, surat kebenaran memasuki sekolah diterima daripada pejabat menteri.

“Kita ada surat kebenaran daripada menteri, namun cikgu pula nampak macam tidak berani hendak beri kebenaran,” katanya pada kuliah di Medan Ilmu hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial Kementerian Pendidikan Malaysia membenarkan ahli parlimen PAS masuk ke sekolah di bawah seliaannya.

Surat kebenaran itu dikatakan ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pendidikan, Dr Muhammad Adli Musa.

Surat bertarikh 4 Disember 2018 sebagai jawapan terhadap permohonan Ahli Parlimen Kubang Kerian Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man memohon kebenaran ahli parlimen PAS masuk ke sekolah di kawasan yang diwakili mereka.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan berkata, di sebalik kebenaran itu ada pula pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahu mereka juga dibenarkan masuk ke sekolah Yayasan Islam Kelantan.

“Cuma kita hendak tanya berapa orang pula wakil rakyat PH yang ada di Kelantan sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/2/2019