PH masih gagal bela rakyat

DUNGUN: Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setelah sembilan bulan pemerintahan PH terbukti gagal membela rakyat.

Advertisement

“Jika tidak semua manifesto ditunaikan, tunaikan dahulu untuk mengurangkan harga minyak ke paras RM1.50 seliter, sudah tentu ianya akan disambut baik oleh seluruh rakyat.

“Dan sudah tentu ianya akan memberi impak kepada turunnya harga barang-barang yang lain, serta dapat mengeluarkan rakyat dari belenggu kemiskinan tegar, setelah sekian lama terhimpit didalam penderitaan akibat kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Jalinan Kasih, yang diadakan di Bangunan Komuniti Taman Indah, Al-Muktafi Billal Shah, semalam.

Menurutnya lagi, kini bukan masanya untuk rakyat terus menerus menyesal apa yang telah berlalu, sebaliknya mengambil iktibar dan beriltizam tidak mahu berpihak lagi kepada kerajaan yang tiada pernah mengambil berat kebajikan rakyat.

“Sekarang ini tanggungjawab para pengundilah bagi memastikan kegagalan tidak berterusan.

“Negara ini harus dibangunkan dengan pemerintahan Islam, yang melaluinya maka akan tertegak keadilan,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, sudah tiba masanya untuk setiap ahli PAS berusaha sehabis daya bagi menampakkan kerja-kerja Islam, agar terserlah keindahan Islam supaya dapat menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang. – HARAKAHDAILY 22/2/2019