IPOH: Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Megat Khas (SMK DMK) telah menjayakan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Inter Batch Alumni DMK Piala Cikgu Khairuddin di padang sekolah itu di Jalan Labrooy, di sini semalam.
Menurut Pengarah Kejohanan, Nazrin Jamaluddin, acara tahunan tersebut bukan sahaja meneguhkan hubungan bekas penuntut SMK DMK, malah berbangga kerana telah melahirkan ramai lagenda bola sepak negara.
Beliau menyebut beberapa nama yang merupakan produk sekolah itu dan pernah mewakili pasukan bola sepak negeri dan negara antaranya ialah Indra Putra Mauyudin dan Khalid Jamlus serta ramai lagi.
Katanya, pihak sekolah turut melahirkan kegembiraan atas penyertaan serta penganjuran melibatkan himpunan Alumni kembali ke sekolah serta menyumbangkan peranan yang meningkatkan imej dan kualiti SMK DMK.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri yang merasmikan kejohanan tersebut memuji ukhuwah ditunjukkan para Alumni DMK menerusi penganjuran sedemikian.
Beliau turut mempromosikan usaha Pemuda PAS antaranya menerusi Jabatan Seni, Kebudayaan dan Sukan (DACS) dalam menjalankan aktiviti berkaitan di seluruh negara dan menegaskan ianya juga sebagai satu ibadah.
Edisi kejohanan penuh meriah dengan bakat dan kemahiran itu serta sorakan sokongan padu penyokong ‘batch’ masing-masing telah menyaksikan Team 98 Fighter muncul sebagai juara. – HARAKAHDAILY 24/2/2019