Fitnah RM90 juta: PAS hargai pengesahan SPRM

SAYA mengucapkan terima kasih dan menghargai pengesahan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa tiada kemasukan sejumlah RM90 juta ke dalam Akaun PAS daripada mana-mana pihak termasuk yang ditohmahkan daripada 1MDB.

Advertisement

Kenyataan ini sekali gus ‘membersihkan’ PAS daripada tuduhan fitnah yang tidak berasas selama ini, dan membuktikan komitmen PAS untuk memelihara prinsip integriti dan ketelusan yang tinggi.

Kepada pihak SPRM, semoga Allah memberikan kebaikan dan kekuatan yang berterusan agar dapat menjalankan tugas dengan penuh ikhlas dan profesional.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Jamadilakhir 1440 / 24 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 24/2/2019

 

Tiada kemasukan RM90 juta ke akaun PAS
NUR HASMIRA MOHAMAD
KUALA LUMPUR: “Siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) setakat ini memang mendapati tiada kemasukan RM90 juta duit 1MDB ke dalam akaun PAS, OK. Dah cukup!” demikian pengesahan yang dibuat oleh Ketua SPRM, Dato’ Mohd Shukri Abdull.
Shukri mengumumkan pengesahan tersebut pada sidang media petang tadi selepas menyaksikan majlis menandatangani lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan penjelasan lanjut terhadap soalan seterusnya mengenai isu sama yang diutarakan oleh wartawan.
“Siasatan SPRM setakat ini memang tidak ada kemasukan RM90 juta duit 1MDB ke dalam akaun PAS, OK,” katanya.
SPRM telah memulakan siasatan ke atas dakwaan PAS menerima RM90 juta sejak 6 Februari lalu.
Siasatan bermula dengan mengambil keterangan daripada mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.