Tiada kemasukan RM90 juta, PAS hargai SPRM

taki3

PAS mengucapkan terima kasih dan menghargai pengesahan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Seri Mohd Shukri Abdull, di Kuala Terengganu hari ini bahawa hasil siasatan SPRM menunjukkan tiada kemasukan sejumlah RM90 juta ke dalam Akaun PAS daripada mana-mana pihak termasuk yang ditohmahkan daripada 1MDB.

Advertisement

Pengesahan ini sekali gus membuktikan segala tohmahan dan dakwaan yang dibuat oleh pelbagai pihak sama ada dari luar mahupun dalam negeri berkenaan perkara tersebut adalah suatu pembohongan, fitnah liar dan perancangan jahat berbentuk “mala fide‟ bertujuan memburukkan imej dan integriti PAS terutama menjelang PRU14 yang lalu.

Justeru itu PAS menyeru semua pihak agar dapat menerima pengesahan daripada SPRM ini sebagai suatu fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus, profesional dan dengan “without fear or favour” kepada mana-mana pihak.

PAS juga menggesa agar isu ini dihentikan dengan segera dan PAS ‘mereservekan’ haknya untuk mengambil segala tindakan mengikut undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpamanya terhadap PAS.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
24 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 24/2/2019

 

Tiada kemasukan RM90 juta ke akaun PAS
NUR HASMIRA MOHAMAD
KUALA LUMPUR: “Siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) setakat ini memang mendapati tiada kemasukan RM90 juta duit 1MDB ke dalam akaun PAS, OK. Dah cukup!” demikian pengesahan yang dibuat oleh Ketua SPRM, Dato’ Mohd Shukri Abdull.
Shukri mengumumkan pengesahan tersebut pada sidang media petang tadi selepas menyaksikan majlis menandatangani lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan penjelasan lanjut terhadap soalan seterusnya mengenai isu sama yang diutarakan oleh wartawan.
“Siasatan SPRM setakat ini memang tidak ada kemasukan RM90 juta duit 1MDB ke dalam akaun PAS, OK,” katanya.
SPRM telah memulakan siasatan ke atas dakwaan PAS menerima RM90 juta sejak 6 Februari lalu.
Siasatan bermula dengan mengambil keterangan daripada mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.