Jangan hina agama lain

DEWAN Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sabah melahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa orang pengguna yang menjadikan media sosial untuk menghina dan merendahkan agama lain. Ini saya kaitkan dengan beberapa pengguna media sosial yang menghina Islam dan menghina Nabi Muhammad.

Advertisement

Sebagai seorang yang beragama Kristian, saya merasakan ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk, pelbagai agama dan suku kaum, perkara seumpama ini boleh menjejaskan keamanan.

Nenek moyang kita sudah memulakan kehidupan yang aman dan tenteram. Mereka sudah berjaya mewujudkan kesepaduan dalam kehidupan kita. Janganlah kerana adanya teknologi yang sangat mudah digunakan ini menjadikan kehidupan kita tidak tenteram.

Saya berpesan kepada semua, tidak kira agama atau bangsa dan kepercayaan, gunakanlah akal yang matang sebelum membuat sebarang ‘posting’ di media sosial. Jangan dengan sesuka hati mencabar dan menghina agama dan bangsa lain.

Ada baiknya masyarakat lebih utamakan penulisan yang bersifat mendidik atau apa-apa yang berkaitan dengan keperluan masyarakat. Penulisan seumpama itu adalah lebih bermanfaat dan berguna untuk kesejahteraan semua.

SATAIL MAJUNGKAT
Pengerusi
Dewan Himpunan Penyokong PAS Sabah – HARAKAHDAILY 25/2/2019