Ketaatan asas pengukuhan Jemaah Islam

IPOH: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun Kali Ke-32 telah dirasmikan oleh Adun Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin yang berlangsung di Dewan Komuniti Kledang Jaya, di sini semalam.

Advertisement

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa ketaatan kepada pimpinan sangat penting khususnya berkaitan langkah dan strategi politik bagi mendepani pelbagai cabaran hari ini.

“Sejarah menunjukkan PAS adalah parti yang terbukti telah berjaya dalam setiap kerjasama politik sama ada tahaluf atau taawun kerana kekal istiqamah mempertahan dasar iaitu Islam dijadikan asas perjuangan.

“Oleh sebab itu, siapa sahaja yang bekerjasama PAS akan mengikut rentak PAS menjadi baik kerana thiqah sehinggalah mereka meninggalkan PAS. Ianya dapat dilihat sewaktu bersama Semangat 46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Perak.

Sementara itu, Ustaz Hafez Sabri kekal dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Tambun apabila menang tanpa bertanding menerajui saf kepimpinan penggal 2019-2021.

Beliau menyatakan komitmennya untuk terus berjuang bersama Pemuda PAS Tambun bagi memastikan slogan “Islam Memimpin Tambun” direalisasikan khususnya di kawasan itu.

Menurutnya juga, komitmen para Pemuda penting bagi mengimbangi zon bandaraya yang kini dikuasai DAP di mana parti itu secara terang-terangan menentang Islam.

Beliau juga dalam ucaptamanya mengajak seluruh anak muda Tambun khususnya generasi baru untuk bersama-sama Pemuda PAS Tambun bagi meneruskan pelbagai agenda.

Jaminnya, Pemuda PAS Tambun akan mengutamakan keperluan rakyat dan meningkatkan usaha dakwah kepada masyarakat disamping memperkemas tarbiyah ahli gerakan Islam.

Mesyuarat Agung Tahunan tersebut turut dihadiri wakil PAS Kawasan iaitu Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said serta Timbalannya yang juga Ketua PAS Cawangan Taman Kledang Jaya selaku tuan rumah, Ustaz Luqmanulhakim Abu Qasim.

Hadir sama ialah wakil Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Adil Mohd Fadzil. – HARAKAHDAILY 25/2/2019    

 

IMG 20190225 WA0025

IMG 20190225 WA0027

IMG 20190225 WA0028

IMG 20190225 WA0029