Tun M perlu ‘pasukan baharu’ teraju negara

POLITIK tanah air masih bermain dengan emosi yang diselubungi naratif perkauman dan permusuhan kepuakan, serta komplot untuk saling menjatuhkan hingga menyebabkan rasa muak rakyat. Usaha memacu negara menuju Wawasan 2020 cetusan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak memimpin selaku Perdana Menteri Keempat dahulu dilihat bakal ‘tertunda’ lagi.

Advertisement

Di era beliau selaku peneraju ketujuh negara ini, desas-desus untuk beliau segera berundur dan digantikan semakin galak direaksikan. Sekali gus, proses demokrasi terus dipertaruhkan ke medan spekulasi dan risiko yang tentunya mengundang rasa resah dan risau rakyat. Ia gara-gara ahli politik yang gelojoh dan tidak menghargai nilai mandat dipercayakan rakyat.

Sehubungan itu, sampai masanya Tun Dr Mahathir berhijrah ke pendekatan dan model yang meyakin serta menyelesaikan. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) digagaskan PAS menjadi penawar tersedia untuk merawat racun dalam politik negara ketika ini. Ia jelas meletakkan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara sebagai agenda utama.

Paling penting, BPMS berpaksikan kepada Islam yang merupakan dasar terutama dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini dapat diperteguhkan lagi menerusi dukungan konsep Kerajaan Teknokrat yang sangat menekankan aspek kompetensi dan integriti. Pemimpin politik masa kini menuntut batang tubuh yang mampu memikul masa depan lebih mencabar.

Malangnya, isu seperti kelulusan palsu dan kegagalan berfungsi di jawatan Kabinet telah mengecewakan banyak pihak dan merencatkan reformasi serta harapan dari gelombang perubahan dizahirkan rakyat pada PRU14 lalu. Ia boleh diakui sebagai keperluan mendesak agar Malaysia Baharu tidak terus dibayangi slogan indah lagi retorik setelah pula banyak janji kepada rakyat dan negara tidak tertunai.

Solusi tersebut juga telah bersiap sedia di dalam PAS yang dapat disaksikan pada Ahli-ahli Parlimennya dengan latar belakang berkemampuan dan berkemahiran tersendiri. Uniknya, mereka ini dibantu pasukan teknokrat di belakang tabir yang aktif menjadi ‘penasihat’ banyak perkara termasuk berkaitan hal ehwal polisi dan pentadbiran negara.

Namun, seandainya gagasan dan konsep ini masih tidak menjadi ramuan yang selesa dan perlu dimanfaatkan, kami tetap menghormati Tun untuk mempertahankan kepimpinan beliau selagi kepentingan agama, bangsa dan negara terjamin. Sebarang usaha menukar mandat ini mestilah berlaku mengikut saluran PRU yang tentu sekali wajar diadakan mengikut tempoh matangnya.

Islam Memimpin”
“Terus Mara”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 25/2/2019