Bagai antara dua darjat – Uncle Kentang

HULU LANGAT: Majoriti masyarakat di Semenyih masih memerlukan bantuan menghadapi kos hidup yang semakin membebankan.

Advertisement

Menyelesuri kehidupan masyarakat di sini, calon Bebas, Kuan Chee Heng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih berkata, turun berkempen memberi kesempatan kepada beliau berjumpa masyarakat di sini untuk mendalami bebanan kesusahan hidup.

Bagai antara dua darjat kehidupan masyarakat di sini apabila sebahagian besar masyarakat Melayu di kawasan yang jauh dari kawasan bandar kebanyakannya dicengkam dengan kemiskinan.

“Seolah hidup segan mati tidak mahu. Itulah kehidupan masyarakat di sini yang boleh saya gambarkan apabila turun bertemu masyarakat,” katanya kepada Harakahdaily yang ditemui di sini.

Kuan Chee Heng atau lebih mesra dikenali Uncle Kentang berkata, akibat janji politik yang dijanjikan oleh ahli politik kepada rakyat ia seolah-olah memarut luka baharu kepada rakyat.

“Mereka (ahli politik) hanya turun bertemu dan menjengah rakyat hanya ketika nak menagih undi rakyat untuk menang dalam kempen PRK sahaja, bila menang sahaja masyarakat ditinggalkan dan dibiarkan,” katanya.

Kuan Chee Heng yang merupakan aktivis masyarakat berkata beliau terpanggil masuk bertanding dalam PRK Semenyih sebagai cara “menegur” kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa rakyat semakin tertekan dengan kos hidup hari ini.

Beliau tidak gentar bergerak bersendirian memperjuangkan nasib rakyat atas keyakinan beliau bahawa Tuhan akan sentiasa membantu hamba-Nya yang ikhlas menolong mereka yang memerlukan pertolongan.

Hari ini merupakan hari pengundian awal PRK Semenyih. Dua pusat pengundian awal dibuka sejak jam 8 pagi tadi bagi membolehkan seramai 858 anggota keselamatan di Semenyih membuang undi. – HARAKAHDAILY 26/2/2019