Muslimat Beruas giat kempen produk Muslim

BERUAS: Dewan Muslimat PAS Kawasan Beruas telah melancarkan Kempen Pengguna Membeli Barangan Muslim sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-25 yang dilangsungkan kelmarin.

Advertisement

Pelancaran tersebut sebagai menyambut seruan kempen tersebut yang dicetuskan penganjurannya oleh Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Muslimat PAS Negeri Perak.

Perasmiannya disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Perak, Ustazah Rohawati Abidin pada mesyuarat yang diadakan di Darul Ghuraba Markas PAS Beruas, Pantai Remis, di sini.

Dalam ucapannya, beliau mengajak supaya amalan penggunaannya dimulakan dengan menukar produk di rumah kepada produk-produk Muslim yang status halalnya terjamin terutama makanan.

Sebagai menyemarakkan kempen tersebut, Muslimat PAS Beruas akan mengenalpasti para usahawan dalam kalangan ahli PAS dan masyarakat setempat untuk diperkenalkan produk mereka.

Malah, menerusi Lajnah Ekonomi turut membuka gerai jualan di pelbagai majlis dan premis awam sebagai kemudahan atau ‘One Stop Centre‘ kepada pengguna mendapatkan produk Muslim.

Hadir sama menyatakan sokongan pada inisiatif Muslimat PAS itu adalah Yang DiPertua PAS Beruas, Zakaria Hashim yang juga merupakan peruncit dan pemborong produk Muslim contoh. – HARAKAHDAILY 26/2/2019