Anwar, Clare bacakan Yasin saja

SAYA cuti panjang dari politik yang aktif ketika PAS mengadu kepada mahkamah England tentang dakyah Sarawak Report dan Clare Brown mendakwa PAS diberi Umno RM90 juta.

Advertisement

Mengadu kepada mahkamah itu adalah amalan biasa di dunia sekarang. Saya tidak membantah. Tetapi pada saya ada satu kaedah mengadu lagi iaitu ke hadhrat Ilahi khususnya oleh umat Islam. Di samping mengadu kepada mahkamah duniawi, justeru ia saja yang difahami oleh masyarakat dunia, kita utamakan mengadu kepada Allah, sedang ramai umat Islam pun tidak memahaminya.

Bila saya aktif sikit dalam PAS semula saya beri pandangan minoriti, eloknya kita mengadu juga kepada Allah.

Pada saya sesudah saman terhadap Sarawak Report itu sudah dimuktamadkan diselesai di luar mahkamah, maka bersekongkol pula Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pemimpin PKR seumur hidup dengan kentut bawaan Clare itu. Sedang isu itu dulunya, PAS diberi RM90 juta adalah kentut. Kentut itu kita tidak nampak, yang ada baunya saja.

Kentut itu dikatakan perempuan Inggeris itu dibayar sejuta dalam penyelesaian luar mahkamah itu.

Saya fikir PAS tutup hidung saja mengelakkan pekung kentut itu, kita kembali mengadu kepada Allah, bermunajat membacakan Yasin untuk Anwar dan Clare serentak di semua ibu negeri khususnya di stadium di Kota Bharu dan Kuala Terengganu tiga Jumaat malam berturut-turut.

Biarlah Allah beri jawapan setimpal atas aduan itu. Akan ada yang kata PAS berpolitik Yasin, biarlah mereka kata kerana masing-msing tidak peka Islam ada politik demikian. Atas satu fitnah yang Rasulullah SAW hadapi, baginda membaca qunut nazilah sebulan.

Politik Yasin ini diambil Tok Guru Nik Aziz sebagai Ketua Dewan Ulamak lepas ia keluar dari BN dulu. Jika saya tidak silap Menteri Pelajaran, Dr Mahathir menempelak PAS lebih bahaya dari komunis. Dua siri politik baca Yasin itu. Lama selepas itu saya tanya Tok Guru Nik Aziz. Apa jadi dengan bacaan Yasin? Mahathir yang jadi Menteri Pelajaran kian naik hingga jadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri.

Jawab beliau, jawapan dari Allah tidak pasti kita dapat lihat. Ia jadi semasa hidup dan ia boleh jadi selepas mati. Boleh berlaku cepat dan boleh berlaku lambat. Tetapi kita mesti yakin Allah mendengar rayuan dan aduan hamba-Nya.

Mengadu kepada Allah adalah ibadat, dan mengadu kepada mahkamah duniawi, kita tidak tahu lagi.

Tok Guru sudah mati, tetapi Mahathir jadi Perdana Menteri semula. Adakah dia, kerajaannya dan partinya selesa sejahtera dan huru-hara? Allah Maha Mengetahui.

Tok Guru Nik Aziz sebelum jadi Mursyidul Am pernah ambil tindakan ini. PAS kalah di Kelantan gara-gara ditendang dari BN. Selepas baca Yasin Tok Guru naik jadi Mursyidul Am, jadi Menteri Besar Kelantan sepanjang Mahathir jadi Perdana Menteri. Mahathir bersara, jadi Perdana Menteri lagi, masih dia tidak dapat ambil Kelantan.

Saya tidak kata yang tidak disenangi pembesar PH sekarang gara-gara baca Yasin dulu, tetapi beliau yang pernah berpolitik begitu terus disanjung oleh kawan dan lawan, baik sebagai pemimpin PAS baik sebagai pemimpin Kerajaan Kelantan, baik semasa hidup mahu pun selepas mati.

Kita bukan hendak membaca Yasinkan Anwar seperti meYasinkan Mahathir dulu, tapi mengadu kepada Allah itu sebagai menepis pekung kentut yang mereka lepaskan. Yasin tiga malam Jumaat itu juga boleh melepaskan Mahathir dari percubaan menggulingkannya. – HARAKAHDAILY 28/2/2019