PH bimbang muafakat PAS-Umno

HULU LANGAT: Muafakat antara PAS dan Umno yang sedang berjalan kini amat dinantikan rakyat, malah ditakuti Pakatan Harapan (PH).

Advertisement

Hasil muafakat ini mendapat lonjakan undi bagi kerjasama BN-PAS di PRK Cameron Highlands, malah ia akan membawa kepada kemenangan di PRK Semenyih.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, gabungan ini adalah harapan kepada rakyat selepas menyaksikan kerajaan PH tidak langsung menguntungkan rakyat.

“Apa yang rakyat luah mereka tidak dapat kebaikan daripada Malaysia Baharu ini, apa yang mereka dapat kerajaan lebih teruk yang mereka hadapi kini.

“Dulu masa Umno mereka dapat sahaja bonus, dan macam-macam walaupun dituduh Umno habiskan duit,” kata Tuan Ibrahim semasa Ceramah Perdana PAS-Umno di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Mahkota, malam ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohammad Hasan dan saf pimpinan kedua-dua parti.

Dalam ceramah itu juga, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan hari ini lebih banyak membuat perkara yang di luar jangka, yang akhirnya tidak menguntungkan rakyat.

“Buat penghapusan tol dari jam 11 malam hingga 5 pagi, ini memamg luar biasa,” katanya sinis dan disambut hilaian ketawa oleh lebih 2.000 hadirin.

PRK Dun Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM). – HARAKAHDAILY 28/2/2019