Tiada rampasan, pembekuan akaun – Takiyuddin

taki3

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menafikan laporan kononnya beberapa akaun bank dibekukan manakala kenderaan mewah, kedai dan wang tunai dirampas pihak berkuasa, berhubung siasatan dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Advertisement

Kata Takiyuddin, laporan beberapa portal berita sejak petang tadi berhubung isu itu tidak berasas.

Malah beliau meminta agensi media terbabit mengkaji semula penyiaran artikel berkenaan.

Beliau menegaskan, pihaknya baru menghubungi pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, apa yang dilaporkan beberapa portal berhubung rampasan dikatakan mempunyai kaitan dengan siasatan kes PAS adalah tidak benar.

Takiyuddin seterusnya mendesak portal yang melaporkan mengkaji balik artikel berkenaan atau berdepam tindakan undang-undang.

Katanya, pihak beliau telah ‘print screen’ (tangkap layar) artikel berkenaan sebagai bukti.

Beberapa portal berita melaporkan, SPRM kononnya merampas beberapa kenderaan mewah, sebuah rumah kedai dan wang tunai selain membekukan beberapa akaun bank berhubung siasatannya mengenai dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Umno. – HARAKAHDAILY 28/2/2019