‘Hina Nabi kita tak boleh bertolak ansur’

MARANG: Umat Islam seluruhnya termasuk PAS tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menghina Rasulullah SAW dan ajaran agama.Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali berkata, himpunan bantah hina Nabi adalah perhimpunan aman di negara ini.

Advertisement

Katanya, tujuan himpunan itu bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia adalah sebuah negeri umat Melayu Islam yang mesti dipertahankan.

Justeru, kata Yahaya, jika terdapat mana-mana pihak yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW, PAS tidak boleh bertolak ansur.

“Jika ada mana-mana pihak yang bukan Islam, yang bukan Melayu, yang selama ini hidup aman damai di sini (Malaysia).

“Tiba-tiba mereka mula menyentuh kepentingan agama Islam. Mereka mahu menghina Nabi kita, sudah tentu kita tidak boleh bertolak ansur.

“Kita harap himpunan kita ini perhimpunan aman dan kita mahu menyampaikan mesej bahawa Malaysia ini adalah negeri umat Melayu Islam, dan kita mesti hendak pertahankan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Aman Bantah Penghinaan Kepada Rasulullah di pekarangan Masjid Rhu Muda, selepas solat Jumaat, hari ini.

Menurutnya, perhimpunan aman itu tidak mengira latar belakang politik, umat Islam bersatu membantah penghinaan terhadap Rasulullah SAW.

Beliau selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS III Terengganu, juga mengingatkan orang bukan Islam dan orang Islam yang jahil agar tidak menghina Nabi SAW.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak, orang bukan Islam khususnya, atau orang Islam yang jahil mempermainkan Islam atau menghina junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

“Kita juga memberi peringatan, jika kamu terus menghina Nabi besar kita, Nabi Muhammad SAW. Maka, akan berlakulah seperti apa yang berlaku sekarang ini.

“Dahulu, kes Salman Rushdie yang menulis ‘Surah Syaitan’ (The Satanic Verses), maka seluruh dunia umat Islam bangkit. Kita tidak mengira latar belakang politik, kita bersatu membantah penghinaan terhadap Rasulullah SAW,” jelasnya dihadapan hampir 2,000 umat Islam.

Menurutnya, novel ‘The Satanic Verses’ itu mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia dan pemimpin Iran, mengeluarkan fatwa bunuh ke atas Salman Rushdie.

Hadir sama pada perhimpunan itu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhamad Yusof Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 1/3/2019