PAS bantu untuk menangkan BN

HULU LANGAT: Ketua Pemuda PAS Hulu Langat, Zukri Ahmad optimis kemenangan akan berpihak pada calon Barisan Nasional (BN), Hanafi Zakaria yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih.

Advertisement

Menurut beliau, hampir selama dua minggu tempoh berkempen bersama Barisan Nasional hari ini, PAS telah merialisasi arahan pimpinan bagi membantu calon BN, dalam PRK Semenyih.

Katanya, seluruh jentera PAS dikerahkan untuk membantu sebagai perayu undi malahan ada di kalangan Pemuda PAS dan juga ahli PAS yang lain bertugas sebagai PACA untuk membantu jentera Umno.

“Sebab matlamat kita adalah untuk mendapatkan kemenangan yang solid untuk Barisan Nasional kali ini sebagai referendum rakyat terhadap kerajaan PH,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan PH bukan sahaja gagal melaksanakan janji malah membuat perkara dan keputusan yang tidak memihak kepada rakyat khususnya pada umat Islam.

Menurut beliau, momentum sepanjang tempoh berkempen telah berjalan dan hari ini hasil usaha keras itu bakal diterjemahkan di dalam kertas undi.

Beliau turut memaklumkan bahawa jentera PAS dan Umno akan berkumpul di tempat penjumlahan undi bagi meraikan kemenangan yang diimpikan untuk calon Hanafi Zakaria.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. – HARAKAHDAILY 2/3/2019