Hadapi siri ujian dengan kefahaman

PADANG RENGAS: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Rengas Kali Ke-32 telah berlangsung di Taman Puncak Bougainvillea, di sini semalam.

Advertisement

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar yang dalam ucapannya menyoroti pelbagai sirah perjuangan para Sahabat R.A bersama Nabi S.A.W.

Katanya, keberadaan di dalam Gerakan Islam pasti berhadapan dengan pelbagai perkara yang menguji keteguhan hati seseorang untuk terus kekal istiqamah bersama perjuangan ini.

Oleh sebab itu, beliau mengingatkan agar Pemuda membina daya tahan terhadap siri-siri ujian Allah melalui ilmu dan kefahaman selepas menyertai parti Islam ini.

“Kita baru (diuji) isu audio kepimpinan. Baru isu RM90 juta. Lepas ini ada bermacam-macam isu akan datang.

“Saya nak pesan, supaya kita sebagai Pemuda insaf, kita tidak menganggotai jemaah Islam ini (semata-mata) dengan semangat. Kita mesti menganggotai jemaah Islam dengan ilmu.

“Di situ kita kena ingat, kita bersama dengan parti Islam. Ada orang yang meninggalkan perjuangan Islam dengan sebab tidak tahan dengan siri-siri ujian yang Allah Taala sengajakan,” ujarnya berpesan.

Beliau turut menegaskan bahawa ketaatan kepada pimpinan sangat penting dalam mengatur langkah politik pada hari ini.

“Kita tidak tahu apa yang akan direncanakan oleh Allah Taala. Tetapi, apa yang cuba dibuat oleh kepimpinan kita, mesti kita sokong.

“Kita bimbang peristiwa di dalam (Pakatan Rakyat bersama) PKR itu berlaku (semula). Sehingga kita ambil fatwa dari PKR, kita ambil fatwa dari DAP. (Menyebabkan kita) meninggalkan ijtihad-ijtihad politik daripada kepimpinan kita sendiri”, ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Parit.

Sempena MAT tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah khas Ikon Pemuda, Anugerah Jawatankuasa Pemuda Cawangan Terbaik dan Anugerah Jasamu Dikenang.

Mesyuarat Agung Tahunan tersebut turut dihadiri wakil PAS Kawasan iaitu Naib Yang DiPertua PAS Padang Rengas, Ustaz Azizi Mohamed Ridzuan. – HARAKAHDAILY 4/3/2019 

IMG 20190304 WA0014