Semenyih bawa maksud kebangkitan rakyat

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional di Semenyih membawa maksud yang besar iaitu kebangkitan rakyat, kata Pengerusi BN Selangor, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Advertisement

“Kami menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kemenangan yang tidak dijangka di saat kami berdepan jentera kerajaan negeri dan pusat serta gabungan politik Pakatan Harapan yang begitu angkuh dan sombong dengan kuasa dan mandat yang diterima mereka pada PRU14 lalu.

“Namun kami menjadikan perkara itu sebagai dorongan dan panduan untuk kami menjalankan kempen dan meraih undi secara bebas, telus dan berintegriti,” ujarnya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya tidak menjanjikan bulan dan bintang termasuk tol percuma waima kereta terbang sekalipun kepada pengundi di Semenyih, sebaliknya calon BN, Zakaria Hanafi yang dipertaruhkan untuk menjadi suara rakyat bukan sahaja di Semenyih tetapi di Selangor dan Malaysia.

Ini, katanya untuk menjadi manifestasi bahawa kuasa dan mandat yang diberi kepada PH pada PRU14 lalu bukan saja-saja.

Justeru, ujarnya PH jangan berterusan beretorik mengatakan baru sembilan bulan menjadi kerajaan, semuanya salah kerajaan terdahulu, tidak sangka boleh menang dan alasan demi alasan untuk menghalalkan pembohongan.

“Mari kita menuntut segala janji yang telah dibuat kepada rakyat bermula dari PRU14 sehingga PRK kali ini oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah PH,” katanya lagi.

Tambahnya, PH perlu membuktikan dengan pelaksanaan terhadap apa yang telah dijanjikan untuk Semenyih dan jangan anak tirikan Semenyih selepas ini kerana kalah.

Apapun, ujarnya BN Selangor komited untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri dengan lima Adun BN dan satu daripada PAS.

Menurutnya, mandat yang diberi kepada Zakaria tidak akan disia-siakan dan percayalah BN Selangor komited menjadi pembangkang yang efisien dan tegas dalam membawa suara rakyat.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN, PAS serta NGO bebas yang bertungkus-lumus sejak hari pertama bagi memastikan kemenangan BN.

“Kepada 19,780 yang mengundi kami termasuk juga 17,866 yang mengundi PH, Zakaria akan menjadi wakil rakyat anda yang berkesan,” ujarnya.

Pada PRK Semenyih yang diadakan semalam, calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi, Muhammad Aiman Zainali (PH) mendapat 17,866 undi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng (725 undi). – HARAKAHDAILY 3/3/2019