Tahniah anak muda, rakyat tolak PH

TAHNIAH diucapkan kepada calon Barisan Nasional, Tuan Haji Zakaria Hanafi kerana memenangi PRK Semenyih. Jelas bahawa rakyat sudah menolak dan tidak yakin terhadap Kerajaan PH. Runtuhnya keyakinan rakyat akibat pelbagai janji yang ditabur oleh PH ketika pilihan raya umum lalu yang sehingga ke hari ini tidak langsung dilaksanakan.

Advertisement

Jutaan terima kasih kepada jentera PAS dari seluruh negara yang turun membantu sehabis daya di PRK Semenyih terutamanya dari kalangan anak muda. Ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Jabatan Amal Malaysia yang tidak mengenal erti letih dan jemu dalam menghulurkan bantuan dan tenaga di PRK Semenyih.

Kekalahan berturut-turut PH di dua PRK kali ini dengan majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya umum yang lalu adalah bukti jelas bahawa rakyat sudah tidak yakin malah sudah menolak PH secara total terutamanya DAP dan PKR yang membawa budaya politik melampau.

Kemenangan kali ini juga memberi petanda positif bahawa rakyat sudah memahami kerjasama gabungan pembangkang yang efektif dan berkesan. Ia adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara di samping menjaga keutuhan perlembagaan negara serta institusi di raja, memelihara hak dan keharmonian pelbagai kaum, bangsa dan agama di dalam negara.

Jika momentum ini berjaya diteruskan terutamanya dalam kalangan anak muda serta rakyat yang telah mula sedar akan omogan kosong PH, saya percaya di PRK Rantau, PH akan berjaya ditumbangkan sekali lagi sekali gus melenyapkan cita-cita PH dengan politik tidak masuk akal mereka.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 3/3/2019