Kenyataan Ronnie: Ada berani sanggah?

KUALA LUMPUR: PAS tidak terkejut dengan kenyataan ahli jawatankuasa eksekutif DAP, Ronnie Liu yang berkata Pakatan Harapan (PH) jangan jadi lebih Melayu daripada Umno dan PAS.

Advertisement

“PAS tidak terkejut, kenyataan ini sesuai dengan Deklarasi Setapak 1967,” ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Beliau turut memetik deklarasi itu: “Deklarasi Setapak memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini lah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang. Berkenaan polisi berkaitan budaya dan pendidikan, deklarasi menekankan bahawa semangat Perlembagaan Persekutuan mestilah dihormati; sementera menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, hak untuk menggunakan bahasa lain juga mestilah dipertahankan.

“Deklarasi Setapak juga memperkukuhkan komitmen DAP untuk membina negara yang kreatif dan hidup berharmoni, yang membuka jalan ke arah integrasi nasional dan bukan kehancuran negara.”

“Ada beranikah mahu sanggah?” tanya Ustaz Idris. – HARAKAHDAILY 4/3/2019