PASRelief nekad rempuh setelah terperangkap

MA’ARIB, Yaman: Delegasi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) yang menempuh perjalanan panjang akhirnya tiba di bandar ini jam 12:30 malam waktu tempatan (5:30 pagi waktu Malaysia).

Advertisement

‘Pengalaman’ sepanjang pergerakan itu memahamkan anggota delegasi terhadap realiti sebenar perjalanan tersebut yang berbeza daripada maklumat rujukan sedia ada.

Delegasi sebelum bertolak telah diberi makluman awal oleh Pengerusi Jamiyat Al-Islah Al-Ijtimaie Al-Khairiah (CSSW), Muneer Soleh Abduh Hud bahawa akan mengambil masa sekitar 12 jam.

Sedangkan semakan di ‘Google Maps‘ mendapati jarak dari Seiyun ke Ma’arib hanya lebih sedikit 400 kilometer dan mengambil masa kurang daripada 7 jam perjalanan.

Namun, hakikat sebenar dan ‘membumi’ dilalui delegasi adalah jarak melebihi 600 kilometer yang telah mengambil masa hampir 9 jam, itupun atas pemanduan laju melebihi 150 kilometer perjam.

Sukarelawan CSSW, Muhammad Said Qafzan selaku pemandu delegasi ternyata amat mahir dengan kenderaan pacuan empat roda serta selok-belok keadaan jalan yang dilalui.

Perjalanan walaupun merentasi muka bumi lembah gurun padang pasir mendatar, tetapi kosong saujana mata memandang dengan fizikal jalan yang kecil dan masih dalam pembinaan.

Malah ketika perjalanan itu tadi, delegasi telah terperangkap dalam kesesakan panjang lori, trailer dan bas di tengah padang pasir berikutan jalan terhalang oleh bas dan trailer yang terkandas.

Difahamkan, keadaan tersebut berlaku sejak siang hari lagi menyebabkan kenderaan daripada kedua-dua arah langsung tidak dapat bergerak, manakala terdapat beberapa pacuan empat roda tersangkut di kawasan berpasir.

Delegasi PASRelief yang menyertai orang ramai membantu kenderaan-kenderaan tersebut keluar daripada keadaan itu turut merasai pengalaman beberapa kali ‘diserang’ angin berpasir.

Enggan terperangkap lama di situ serta mengelak risiko keselamatan yang lain, delegasi nekad ‘merempuh’ padang pasir melepasi laluan terhalang tersebut hingga selamat sampai ke Ma’arib. – HARAKAHDAILY 4/3/2019

IMG 20190304 WA0023

IMG 20190304 WA0022  

IMG 20190304 WA0021

IMG 20190304 WA0016

IMG 20190304 WA0017 

IMG 20190304 WA0018

IMG 20190304 WA0019

IMG 20190304 WA0020 

IMG 20190303 WA0008