Hina agama: Kerajaan hanya diam membisu

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Kamaruzaman Mohamad kecewa dengan sikap membisu kerajaan dalam isu penghinaan agama Islam.

Advertisement

Perkara itu dinyatakan beliau menerusi sidang media UMMAH yang diadakan semalam di IPD Dang Wangi berkenaan laporan polis terhadap isu penghinaan Alvin Chow ke atas Rasulullah SAW.

Terdahulu, selepas demonstrasi di Masjid Negara Jumaat lalu, beliau telah membuat penegasan kepada kerajaan supaya bertindak tegas terhadap sebarang usaha menimbulkan suasana tidak aman terhadap negara dengan membangkitkan isu-isu sensitif.

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja membangkitkan isu sensitif, tetapi merupakan penghinaan secara biadap terhadap Rasulullah SAW.

“Saya telah memberi amaran kepada Mujahid supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelak kejadian ini daripada berulang,” katanya.

Namun, UMMAH kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang bertindak sebaliknya.

“Tapi apa yang berlaku sebaliknya, beliau lebih menekan orang yang nak bangkit membela Nabi berbanding orang yang menghina maruah Nabi.

Justeru itu, beliau memberi amaran yang tegas sekiranya kerajaan gagal menangangi isu tersebut pihaknya akan mengadakan himpunan yang jauh lebih besar dari sebelum ini.

“Ini janji komitmen kami daripada Gerakan Pembela UMMAH,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa untuk meletak jawatan sekiranya tidak mampu mempertahankan agama.

“Saya cabar Mujahid, kalau anda tak mampu menjaga agama kami dari terus dihina, sila letak jawatan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2019

(ULASAN SELANJUTNYA DI HARAKAH CETAK)