Selamatkan khazanah negara, selamatkan ekonomi Malaysia

PADA akhir bulan November 2018, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai pelaburan dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Khazanah Nasional Berhad, di bawah kepimpinan baru yang dilantik Kerajaan Pakatan Harapan. Umum mengetahui bahawa Khazanah ialah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia.

Advertisement

SHAHIR2Khazanah diamanahkan untuk menyimpan dan menguruskan aset komersial Kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik untuk negara. Khazanah memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memacu pelbagai industri strategik dan inisiatif negara, memupuk pembangunan industri tersebut dalam usaha memenuhi kepentingan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Khazanah juga memacu pembentukan nilai pemegang saham, meningkatkan keuntungan kecekapan dan meningkatkan tadbir urus korporat dalam syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kerajaan, yang dikenali sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC.

Syarikat-syarikat utama yang tersenarai dalam portfolio Khazanah terdiri daripada beberapa syarikat terbesar dan terpenting di Malaysia, termasuk Axiata Group Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, IHH Healthcare Berhad dan UEM Sunrise Berhad.

Hari ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa Kerajaan Malaysia untuk membaikpulih ekonomi Malaysia yang kelihatan semakin tenat saban hari. Terbaru, kita lihat dalam tempoh tahun 2018, sembilan syarikat di bawah portfolio Khazanah mengalami kejatuhan nilai saham yang menjunam mengakibatkan kejatuhan nilai RM 64.5 Billion (Market Capital). Keadaan ini sangat berbeza jika dibandingkan pada tahun 2017 di mana nilai saham pelaburan Khazanah berada di tahap tertinggi.

Hari ini dilaporkan bahawa Khazanah telah rugi sebanyak RM6.30 bilion. Syarikat lain seperti AXIATA juga rugi sebanyak RM5.03 bilion. FGV rugi sebanyak RM1.00 bilion. Telekom Malaysia pula mencatatkan keuntungan bersih turun merundum sebanyak 83.5%. Jelas menunjukkan syarikat-syarikat utama di bawah portfolio Khazanah mengalami kerugian yang teruk.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Council of Eminent Persons, dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk segera bertindak. Jika di Semenyih, calon Pakatan Harapan ketika itu dengan beraninya menjanjikan masalah akan selesai dalam masa sehari jika menang, kenapa pula pimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang menang PRU14 ini tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi ini walaupun sudah hampir 10 bulan memegang jawatan!

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
05 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 5/3/2019