Ustaz Fadzil, Mat Sabu sokong Anwar jadi PM?

SEORANG pembaca menyanggah ulasan saya tentang PAS menolak Dato’ Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri sedang katanya Almarhum Ustaz Fadzil dan Mat Sabu menyokongnya, bahkan Tuan Guru Nik Aziz pun setuju.

Advertisement

Jika ikut loghat Kedah, ulasan saya itu merepek sesuai dengan usia saya.

Ternyata dia tidak fanatik dengan tulisan saya, tetapi saya tidak pasti dia adil dan arif dengan soal dalaman rumah tangga PAS atau tidak suka dengar apa saja dikata tidak elok tentang Anwar yang mungkin bosnya dan idolanya.

Sebermula memang Anwar itu diharap oleh semua warga PAS dan anak cucunya untuk menjadi Perdana Menteri dari PAS. Pandangannya, pemahamannya, kecenderungan politik Islamnya jauh sempurna dibanding dengan Tun Razak, Tun Hussein Onn, malah Mahathir sendiri. Dikecamnya penyertaan PAS dalam kerajaan campuran dan Barisan Nasional di bawah Dato’ Asri, sedikit sebanyak mempengaruhi PAS meninggalkan BN.

Wasiat Pak Natsir, pemimpin besar Masyumi gerakan Islam Indonesia era Sukarno kepada PAS, jika Dato’ Asri hendak berundur, ganti terbaiknya ialah Anwar.

Ketika PAS memikirkan ganti Asri itu sekonyong-konyong Anwar masuk Umno, parti dan para pimpinannya yang Anwar kecam sebelum itu. Terperangkap dan terkejut pemimpin ABIM yang juga penyokong PAS atas tindakan Anwar itu.

Sejak itu pemimpin PAS termasuk Ustaz Fadzil, Haji Yusof Rawa dan lain-lain tidak pernah memikirkan tentang Anwar sebagai kawan seperjuangan. Dia sudah sama dengan Ghafar Baba dan Dr Mahathir. Apa yang dia tidak kata tentang PAS, Tok Guru Nik Aziz dan pimpinan ulamanya yang lain.

Jika Ustaz Fadzil pilu dengan apa yang Mahathir buat terhadap Anwar, bukan kerana harapkan dia jadi Perdana Menteri, tetapi tidak percaya segala tohmah yang Umno buat terhadap Awnar. Jika tanpa pengetahuan PAS Ustaz Fadzil sendirian pergi ke rumah Anwar setelah dia dibuang, bukan kerana sedih Anwaar disekat untuk jadi Perdana Menteri, tetapi penjelasan Ustaz Fadzil kepada pemimpin PAS ialah apa sebenarnya yang berlaku dari mulut Anwar sendiri.

Ketika itu Anwar dirongrongkan untuk ditahan di bawah ISA. Jika kena ISA tidak dikekahui bila hendak dibebaskan. Maka sebelum polis mengambilnya, Ustaz Fadzil menemuinya.

Saya adalah antara yang rapat dengan Ustaz Fadzil. Saya tidak pernah tahu dan dengar beliau mengharapkan Anwar jadi Perdana Menteri. Entahlah di belakang beliau fikir lain?

Dalam himpunan GERAK membela Anwar di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang bercakap mahukan Anwar jadi Perdana Menteri ialah Prof. Jomo. Dia sebut depan Ustaz Fadzil dan ribuan penyokong PAS. PAS diam.

Ketika PAS sudah ada ikatan dengan penyokong Anwar, Mat Sabu tidak selesa. Dia ada ceramah khas tiga jam bantai Anwar habis-habisan. Lama kemudian barulah dia suka dan lepas itu tidak ada patah balik tentang Anwar.

Semasa pimpinan Ustaz Fadzil tidak ada pakatan kukuh parti pembangkang. Sekalipun yang menemukan mereka justeru Anwar dipenjarakan, tiada siapa hendak mencadangkan orang itu dan orang ini jadi PM.

Kuatnya mahu Anwar jadi calon PM bila Anwar berjaya mengajak PAS dan DAP membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan dialah jurucakapnya. Semasa pimpinan Tuan Gutu Haji Hadilah isu ini berbangkit. Melihat Anwar tidak banyak membantu PAS mengemukakan isu Islam seperti yang PAS perjuangkan. Malah seperti halangan DAP saja, maka menjadikan Perdana Menteri mungkin lebih teruk dari PM sebelumnya.

PAS pun tolak dia. – HARAKAHDAILY 5/3/2019