Hina Nabi: PAS Lenggong, UMMAH lapor polis

IMG 20190306 WA0020
LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong  bersama NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) telah membuat laporan polis susulan kenyataan menghina peribadi Rasulullah S.A.W di media sosial.
 
Tangkap layar daripada akaun media sosial oleh individu menggunakan akaun dengan nama Alvin Chow dan Danny A’antonio Jr tersebut telah ditular secara meluas di media maya. 
 
Laporan polis tersebut telah dipimpin oleh Ketua Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rif’aat Razman diiringi aktivis PAS dan NGO UMMAH di Balai Polis Lenggong, di sini kelmarin.
 
Menurut beliau, laporan tersebut dibuat sebagai gesaan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perbuatan menghina Rasulullah dan Islam yang kian menjadi-jadi mutakhir ini. 
 
“Kita umat Islam memandang serius perbuatan menghina Islam dan peribadi Rasulullah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan.
 
“Di samping itu, perbuatan menghina Islam dan Rasulullah S.A.W ini jika dibiarkan boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian antara kaum.
 
“Kita menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana individu yang menghina Islam dan peribadi Rasulullah S.A.W,” desaknya. – HARAKAHDAILY 6/3/2019
Advertisement